– Malaysia Perlu Tegas Bersolidariti Bersama Rakyat Palestin
PAS mendesak kerajaan Malaysia menarik balik jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara pada Oktober ini. Jemputan ini wajar dibatalkan sebagai tanda bantahan dan ketidakpuasan hati terhadap pendirian Amerika Syarikat yang secara terang-terangan menyokong Israel serta menjadi sekutu utama dalam melakukan genosid terhadap rakyat Gaza khususnya, dan rakyat Palestin amnya.
Malaysia tidak sepatutnya berbangga duduk sepentas bersama pemimpin yang zalim, tidak berperikemanusiaan, dan menjadi penyokong utama keganasan global. Tindakan Amerika Syarikat yang berterusan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) — sedangkan hampir seluruh dunia bersatu menentang — jelas menunjukkan bahawa Trump tidak layak berada di negara mahupun rantau ini.
Apakah kita masih boleh menerima tindakan Amerika Syarikat yang bukan sahaja enggan menyokong resolusi menuntut gencatan senjata serta-merta dan pembebasan semua tebusan, malah menolak tuntutan dunia agar Israel membuka sekatan bantuan kemanusiaan dan menghentikan serangan ketenteraan di Gaza? Sampai tahap manakah pemimpin Malaysia harus terus berkompromi dan bertoleransi?
Sesungguhnya Allah telah memberi amaran kepada kita agar tidak cenderung kepada golongan yang zalim, dengan ancaman yang amat keras.
Firman Allah:
لَا تَرۡكَنُوۤا۟ إِلَى ٱلَّذِینَ ظَلَمُوا۟ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِیَاۤءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” – Surah Hūd, Ayat 113
Peliknya apabila hampir seluruh negara di dunia mengecam Presiden Amerika Syarikat atas keterlibatan dalam tindakan melampau Israel terhadap Iran, Yaman, Qatar, Iraq, dan negara-negara serantau, kita pula memilih untuk bersekongkol dengan penzalim. Usaha Perdana Menteri untuk dilihat lantang membantu rakyat Palestin tidak sepatutnya tercemar dengan tindakan menjemput dan duduk bersama individu yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan ribuan rakyat Palestin.
Presiden Trump tidak wajar diraikan sebagai wira atau negarawan. Batalkan segera jemputan tersebut atau rakyat akan bangkit menyatakan penentangan.
Sebagai peringatan, Allah berfirman:
فَتَرَى ٱلَّذِینَ فِی قُلُوبِهِم مَّرَضࣱ یُسَـٰرِعُونَ فِیهِمۡ یَقُولُونَ نَخۡشَىٰۤ أَن تُصِیبَنَا دَاۤىِٕرَةࣱۚ فَعَسَى ٱللَّهُ أَن یَأۡتِیَ بِٱلۡفَتۡحِ أَوۡ أَمۡرࣲ مِّنۡ عِندِهِۦ فَیُصۡبِحُوا۟ عَلَىٰ مَاۤ أَسَرُّوا۟ فِیۤ أَنفُسِهِمۡ نَـٰدِمِینَ
“Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)” – Surah Al-Māʾidah, Ayat 52
“Kembali kepada Penyelesaian Islam.”
Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
28 September 2025