Ameerah Terengganu Tolak URA, Pertahan Hak Pemilikan Rakyat

310

KUALA TERENGGANU – Ameerah Negeri Terengganu menegaskan pendirian tegas menolak cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Urban Renewal Act (URA) yang didakwa mengancam hak pemilikan tanah dan rumah rakyat, khususnya generasi muda.

Pengarah Ameerah Terengganu, Sumaiyah Zakaria berkata, URA berisiko meragut hak rakyat atas nama pembangunan, sedangkan realitinya ramai belia masih terbeban dengan harga rumah yang tinggi serta sukar dimiliki.

“Ameerah Terengganu melihat URA ini bukan sahaja menzalimi pemilik hartanah, malah membuka ruang ketidakadilan terhadap generasi muda yang baru menapak dalam kehidupan.

“Rumah adalah hak rakyat dan ia mesti dipertahankan,” tegasnya dalam kenyataan media pada semalam.

Menurut beliau, sikap kerajaan yang terburu-buru dalam membawa cadangan URA amat dikesali.

Malah katanya, tindakan Menteri KPKT yang seolah-olah menutup telinga terhadap keresahan rakyat jelas mencerminkan kelemahan memahami denyut nadi rakyat bawahan.

Justeru itu, beliau mendesak kerajaan untuk menarik balik cadangan URA sepenuhnya, menggubal dasar perumahan yang benar-benar melindungi rakyat, serta menghormati suara anak muda yang menolak undang-undang yang dianggap zalim ini.