Ameerah Hiburkan Para Ibu Sambil Mengumpul Dana

1033

DUNGUN – “Semua ibu juga merupakan guru. Hargailah mereka semasa ada kerana doa mereka tiada gantinya apabila tiada”, kata Aishah Pengerusi Lajnah Keseniaan dan Kebudayaan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Penyanyi yang popular dengan lagu “Janji Manismu” itu, telah diundang menjayakan program Minum Petang Istimewa Untukmu Wanita anjuran yang berlangsung pada 16 Mei 2014 bertempat di Hotel UiTM Dungun, Terengganu.

IMG_20140516_00195827Program yang dianjurkan Ameerah Kawasan Dungun adalah bertujuan meraikan ibu-ibu termasuk ibu tunggal yang dihadiahkan kupon penyertaan oleh penyumbang dermawan di samping mencari dana untuk menampung program kebajikan untuk wanita muda.

Ada antara hadirin juga dihadiahkan kupon penyertaan oleh suami masing-masing sebagai tanda penghargaan buat isteri tersayang.

Majlis dimulakan dengan deklamasi sajak “Wanita” secara duet oleh adik-beradik, Husni Nabilah Dzulkefli dan Nurul Faqihah Dzulkefli diikuti dengan tayangan video ringkas bertajuk “Ibu Pun Pandai Kelentong” terbitan Candid Syndrome serta “Selamat Hari Ibu” oleh Mat Luthfi.

Kemuncak acara, hadirin seramai 80 orang terpegun mendengar suara Aishah melantunkan lagu lagu “Permaidani”, “Kau Pergi Tanpa Pesan”, “Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu” dan lagu hit “Janji Manismu”.

Penyanyi Aishah yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Keseniaan dan Kebudayaan Dewan Muslimat PAS Pusat turut berinteraksi secara dekat dengan para ibu yang diraikan hingga mengundang rasa terharu mereka.

IMG_20140516_0019596Menurut Seriausaha Ameerah Dungun Daing Siti Norbaity Abd Latif, majlis tersebut turut dihadiri oleh Puan Hajjah Siti Zaliha Mohd, isteri Ahli Parlimen Dungun, Puan Hajjah Roslina Harun, isteri ADUN Sura, Puan Hajjah Rugayah Mahmood,isteri ADUN Rantau Abang.

Katanya, buat pertama kalinya juga, Ameerah Dungun menyediakan mini ‘playground’ dan ‘nursery’ untuk anak-anak kecil dalam program bagi membantu ibu-ibu muda yang hadir untuk lebih fokus dalam program.

“Usaha Ameerah untuk menggalakkan kehadiran ibu-ibu muda ke program ini ternyata sangat dihargai oleh para ibu muda.

“Diharapkan selepas ini, Ameerah dapat menarik lebih ramai lagi penyertaan ibu-ibu muda ke program sekaligus meningkatkan keprihatinan kaum hawa dengan isu feminisma,”katanya