Amalkan BPMS, Elak Kenyataan Guris Hati

237

KUALA TERENGGANU – Sebarang kenyataan yang mengguriskan hati tidak perlu dibawa oleh mana-mana pihak terutamanya peringkat pimpinan dalam kita mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.

Calon Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Amzad Hashim berkata kebajikan dan keselamatan semua kaum terjaga di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN-PAS).

Katanya, ianya merujuk kepada rakaman video ceramah pelakon dikaitkan dengan PAS yang tular di media sosial mengandungi kenyataan kontroversi berbaur perkauman.

“Kenyataan tersebut adalah bertentangan dengan cara politik matang dan sejahtera yang telah diterapkan oleh PAS sejak dulu lagi.

“Teguran dan penjelasan juga telah diberikan oleh Pihak PAS serta individu berkenaan juga telah memohon maaf kepada semua pihak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Program Hi-Tea Santai bersama media perdana bertempat di Dewan Jasmine 1, L6, Paya Bunga Hotel semalam.

Tambah Amzad, PAS berpendirian bahawa di dalam suasana Malaysia yang mengandungi masyarakat majmuk perlu saling menghormati semua kaum agar tidak berpecah belah.

Jelasnya lagi, di bawah kepimpinan Islam seharusnya semua kaum merasa selamat.

“Konsep yang diamalkan oleh Islam sendiri yang membawa kesejahteraan, keselamatan dan keamanan kepada semua.

“Pesanan saya sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat menyeru kepada semua supaya kita menghayati konsep budaya politik matang dan sejahtera dalam berkempen,” katanya.