Oleh : Dr Suhazeli Abdullah
Sekali lagi keluar video promosi rawatan blood-letting atau cucuk urat darah ini berlegar dalam dunia maya. Sebelum ini sudah ditularkan satu video yang hampir sama, mencucuk salur darah atau kulit terhadap seorang pesakit Gout. Pengertian kaedah ini dalam bahasa arab menyebut al Fashdu dan bahasa melayu pula disebut sebagai berpetik.
.
Rakan kami dari #MedicalMythBustersMalaysia dan #MedTweetMY, Dr Mahyuddin telah menjelaskan secara panjang lebar di facebook beliau.[1] Beliau adalah seorang pakar Ortopedik yang tersohor di Pahang.
.
Beliau menegaskan bahawa
“rawatan utama bagi Gout ialah dengan ubat-ubatan anti-radang & bukannya pembedahan. Sebab itulah di hospital, pesakit Gout dirawat oleh Jabatan Perubatan dan bukannya Jabatan Ortopedik. Saya sendiri tak pernah buat pembedahan semata-mata untuk keluarkan kristal kapur ni, ia sesuatu yang tidak perlu dan sia-sia kerana kristal ini akan kembali terbentuk. Melainkan jika kita nak pesakit datang berulang kali ke pusat Rawatan kita boleh la. Bisnes.”
.
Tambah beliau lagi, dengan melakukan tirisan pada sendi seperti dalam video tersebut, walaupun ia akan memberi kelegaan kepada pesakit, ia hanyalah bersifat sementara. Kristal Urate ini akan berkumpul kembali dan pesakit perlu kembali mendapatkan rawatan. Apa yang lebih merisaukan beliau sebagai seorang pakar ortopedik yang telah berkhidmat berbelas-belas tahun itu ialah ia meningkatkan risiko kuman masuk ke dalam sendi dan pesakit boleh mendapat Septic Arthritis (jangkitan kuman pada sendi) dan kerosakan sendi tersebut. Apatah lagi jika dilakukan di bilik rawatan biasa, di dalam sinki tanpa menggunakan sarung tangan!
Video yang ditularkan pada kali ini adalah seorang pangamal perubatan alternatif melakukan keadah yang hampir sama, iaitu mencucuk salur darah di bahagian kaki, katanya bagi membuang kolesterol dan asid. Ironinya ramai yang percaya.
.
Bagi kami dibidang perubatan ini, dengan tegas menyatakan kaedah sebegini adalah sesuatu yang membahayakan.
1) Pertama, ia dilakukan tanpa pengawasan ahli yang mahir. Jika pesakit pengsan akibat kehilangan darah yang banyak, tiada ahli yang pandai melakukan rawatan kecemasan seperti CPR dan seumpamanya lagi .
2) Kedua, pesakit tidak disaring terlebih dahulu status kesihatan mereka, termasuklah tekanan darah, paras gula, status HIV atau penyakit-penyakit berjangkit lain. Prosedur yang melibatkan darah ini perlu disaring sebaik mungkin agar tiada jangkitan silang kemudian nanti dari satu pesakit ke pesakit lain.
3) Ketiga, peralatan terutamanya jarum yang digunakan tidak disteril (nyahkuman). Ianya menjadi sumber jangkitan kuman dan virus seperti HIV, hepatitis. Risikonya adalah tinggi. Kajian menunjukkan risiko jangkitan boleh mencapai 30%.
4) Keempat, persekitaran tidak kondusif, tiada ciri-ciri kebersihan, malah pengamal yang menjalankan prosedur tersebut tidak menggunakan sarung tangan. Darah beku dikaut dengan tangan begitu sahaja. Ya lah, mungkin ada yang menjawab, Allah maha kuasa atas segala sesuatu. Tetapi agak zalim jika kita sendiri yang mencampak diri kepada risiko, kemudian mengharapkan ehsan Allah membantu usaha tidak berakal kita itu.
.
Isu kedua yang saya ingin bangkitkan adalah berkaitan dengan hukum amalan berpetik ini. Saya berbincang dengan beberapa perawat pengubatan Islam serta para muallim, mereka agak terkejut dengan salah faham segolongan pengamal pengubatan yang mengambil lafaz hadis berkaitan dengan al fashdu itu secara literal tanpa mengambil beberapa peringatan dalam mengamalkan al fashdu. Sedangkan di sana terdapat huraian ulama yang cukup tuntas untuk dijadikan panduan bagi kita orang mutakhir ini.
.
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda,
إِنَّ أَمْثَلَ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ وَالْفَصْدُ
“Sesungguhnya kaedah pengubatan yang paling baik bagi kalian adalah hijamah (bekam) dan fashdu (venesection).”
.
Huraian berkaitan dengan penafsiran hadis di atas tidak dibincangkan di sini. Kerana dalam beberapa riwayat lain perkataan Al Fashdu itu di sebut lafaz yang berbeza.[ Boleh lihat lanjut di pautan 2]. Cuma berikut adalah beberapa catatan para agamawan berkaitan isu al fashdu ini.
.
Ibnu al Qayyim dalam kitab Zad al Ma’ad berkata:
فَفِي الْفَصْدِ لَهُمْ خَطَرٌ انْتَهَى
Maka pada Al Fashd untuk penduduk Hijaz adalah merbahaya (kerana faktor cuaca, mereka lebih sesuai berbekam).
.
Manakala dalam kitab Al Mafatih Fi Syarh Al Masobih karangan Hazrat Mulla Ali al-Qari mengatakan:
فإن كان لامرأةٍ وجعٌ شديدٌ يقول الطبيب: لا بدُّ لها من الحِجامة أو الفَصد، أو بها جراحةٌ يُحتاج إلى مداواتها، جاز للحجَّامِ أن يَنظرَ إليها، حتى جاز النظرُ إلى فَرجِها.
Jika sekiranya seorang wanita mempunyai mengidap penyakit yang benar-benar menyakitkan, dan ahli perubatan memutuskan, wanita tersebut perlu berbekam atau berpetik atau perempuan tersebut mengalami kecederaan, maka haruslah tukang bekam melihat perempuan tersebut.
.
Bermakna, sebelum sesorang pesakit itu dirawat, penelitian dan pemeriksaan wajib dilakukan. Bukan semberono menggunakan sesuatu kaedah tanpa memikirkan natijah yang melibatkan nyawa manusia.
.
Dr Adil Al Azhari iaitu ulama yang mentahqiq (penterjemah dan penghurai) kitab Al Tibb Al Nabawi mengulas lanjut mengenai bekam dan berpetik ini. Ulasan beliau, berbekam dua bahagian iaitu bekam kering dan bekam basah. Adapun berpetik, ianya dilakukan atas indikasi khusus. Pada masa tersebut, berpetik dilakukan ke atas pesakit mempunyai tanda-tanda; ketika nadi jantung menurun secara mendadak dan disertai dengan dua bibir yang berwarna biru serta sukar untuk bernafas. Cara berpetik ialah dengan menggunakan jarum yang luas lubangnya yang dimasukkan ke dalam urat lengan pesakit tersebut.
Jika melihat ulasan dari Dr Adil Al Azhari tersebut, berpetik seolah-olah sama kaedahnya dengan “venesection” atau “Venous Cut Down”. Ia dilakukan di saat kecemasan di mana ketika pesakit pengsan akibat volum darah berkurang (hypovolumic shock) dan memerlukan rawatan segara samada kemasukan air atau darah ke dalam badan. Kaedahnya, para doktor akan mencari saluran urat vena yang tertentu untuk bagi memasukkan aliran air atau darah dengan kadar sesegera mungkin. Ini kerana sesaat lewat dalam tempoh ini boleh mengancam nyawa. Ia bukannya mengeluarkan darah, tetapi memasukkan terapi darah atau air. Kaedah ini sesuai dengan ulasan yang dibuat dalam kitab FATH AL MUN’IM yang menyatakan al fashdu atau berpetik ialah memotong urat supaya mengalir darah. Inilah rawatan yang dilakukan dalam perubatan moden ketika getir. Semua salur darah yang besar sudah sukar dijumpai, maka “venous cut down” wajib dilakukan.
.
Pun begitu terdapat beberapa kitab ulama yang melarang berpetik ini. Antaranya Kitab Maa Yaf’aluhu Al Atibba Bi Daf’i Syarr Al Toun dan Kitab Nihayah Al Muhtaj. Imam al-Ramli yang terkenal dengan julukan “al-Syafi’i al-Shaghir” (Imam Syafi’i kecil), pengarang kitab An Nihayah Al Muhtaj itu menyebut, jika tiada keperluan, berpetik adalah dilarang, tetapi berbekam tidak dilarang. Para ulama pun memikirkan indikasi tertentu dalam merawat pesakit sesuai dengan ketinggian ilmu perubatan sezaman dengan mereka.
.
Manakala Kitab Hasyiah Al Syubra Millisi membahas lanjut perkataan Imam Ramli, BERBEKAM LEBIH DARI BERPETIK, boleh jadi kenyataan ini diterima jika ahli perubatan tidak menyatakan berbekam merbahaya. Jika ahli perubatan menyatakan berbekam merbahaya, maka tidak harus hukumnya sebagaimana yang difahami oleh semua ulamak. Perkataan Imam Ramli JIKA TIADA KEPERLUAN pada zahirnya ketika tidak menyebabkan mudorat dengan berpetik tersebut.
.
Selanjutnya ulama menambah, Harus bagi mereka itu berpetik dan berbekam dan seumpamanya iaitu setiap rawatan yang selamat menurut pada kebiasaannya yang diakui oleh ahli perubatan tentang kebaikan cara rawatan tersebut.
( وَ ) لِمَنْ ذُكِرَ ( فَصْدٌ وَحِجَامَةٌ ) وَنَحْوُهُمَا مِنْ كُلِّ عِلَاجٍ سَلِيمٍ عَادَةً ، أَشَارَ بِهِ طَبِيبٌ لِنَفْعِهِ لَهُ
.
Kesimpulannya, amalan berpetik ini menjadi khilaf ulama. Sebahagian besar mereka mengatakan berpetik dilakukan atas indikasi tertentu dan perlu dijalankan oleh orang yang mahir. Venesection atau venous cut down adalah definisi paling tepat bagi istilah al fashdu.
.
Berhati-hati dalam melakukan al fashdu terutama menjaga aspek kebersihan. Risiko jangkitan HIV, hepatitis amat tinggi dalam suasana yang tidak bersih. Begitu juga penelitian ke atas pesakit samada mempunyai penyakit-penyakit darah seperti hemophilia, anemia dan seumpamanya amat penting sebelum menjalankan prosedur.
.
Beringatlah sebelum kena, lebih baik dari terkena komplikasi yang boleh membawa maut.
.
Fb.com/drsuhazeli
.
Pautan
[1] Rawatan Gout Tinta Mahyuddin. https://www.facebook.com/TintaMahyuddin/posts/945951758773923
[2] Hadis berkaitan Bekam dan Al Fashdu. https://kautsaramru.wordpress.com/2017/10/03/kritik-terhadap-metode-pengobatan-al-fashdu-%D8%A7%D9%84%D9%81%D8%B5%D8%AF-yang-dikait-kaitkan-dengan-hadits-rasulullah-shallallahu-alaihi-wa-sallam/
[3] Blood Letting. http://suhazeli.com/wp/?p=1516
[4] Review on Canon Al Tibb Ibnu Sina. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4469963/