Akta kampong baru : kerajaan jangan zalimi pemilik dan pewaris tanah

806

Sekretariat Pembangunan Kampong Baru(SPKB) mendesak Kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 (RUU PPKB 2010) yang akan dibentang untuk bacaan kedua dalam sidang Parlimen bermula Oktober 2011 akan datang kerana majoriti penduduk, pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru jelas membantah cadangan untuk mewujudkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru menerusi Akta tersebut.

Walaupun mendapat bantahan keras dari pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru , Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tetap berkeras untuk membentangkan RUU PPKB 2010 tersebut untuk bacaan kali kedua.

Tindakan ini bukan sahaja telah membelakangkan suara pemilik dan pewaris tanah, malah ia memperlihatkan sikap angkuh dan gelojoh Kerajaan untuk mengaut keuntungan mega dengan memperdagangkan satu-satunya aset berharga milik penuh orang Melayu di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur ini. Tindakan ini telah menampakkan kebenarannya dengan pewartaan Kampong Baru sebagai Zon Komersial sepenuhnya dalam Draf Pembangunan Kuala Lumpur 2020. (KL DCP 2020)

SPKB menegaskan bahawa pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru bukanlah menentang atau menolak pembangunan, tetapi biarlah pembangunan yang hendak dirancang itu bersifat manusiawi, ikhlas dan memberikan keutamaan serta mengambil kira pandangan mereka, bukannya mengutamakan kepentingan pihak-pihak tertentu.

Sejak dari awal lagi Kerajaan telah menunjukkan sikap tidak jujur terhadap pemilik dan pewaris Kampong Baru di mana RUU PPKB 2010 tersebut telah dibentangkan dahulu untuk bacaan pertama di Parlimen pada 17/12/2010, kemudian barulah pihak Kementerian turun berjumpa penduduk, pemilik dan pewaris tanah untuk kononnya “berbincang” dengan mereka. Tindakan ini hanyalah tindakan meminta persetujuan atau pengesahan (endorsement) daripada pemilik dan pewaris tanah kerana RUU PPKB 2010 sudah tersedia dibentangkan di Dewan Rakyat sedangkan terlalu banyak perkara yang jelas memprejudis dan merugikan mereka terdapat di dalam RUU PPKB 2010 yang telah dibentangkan.

Antara perkara yang mendapat bantahan keras dari penduduk Kampong Baru ialah kaedah penyerahan hak milik tanah kepada Kerajaan untuk dibangunkan tanpa jaminan bilakah ia boleh dikembalikan semula kepada pemilik, penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan segala keputusan Perbadanan yang tidak boleh dicabar di mahkamah, pemansuhan Lembaga Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang telah lebih seabad mentadbir dan menguruskan hal-ehwal tanah Kampong Baru, keanggotaan Perbadanan yang tidak mewakili suara anak Kampong Baru serta penubuhan Majlis Penasihat yang langsung tidak “bertaring”. Selain itu, pemusatan kuasa yang sangat luas dan tidak terbatas keatas Kampong Baru yang diletakkan hanya kepada seorang manusia sahaja iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, yang boleh mendedahkan kepada amalan penyalah gunaan kuasa, urustadbir yang korup dan tidak bertanggungjawab.

Semua perkara tersebut menggambarkan sikap tidak telus dan tidak jujurnya Kerajaan untuk menjaga kepentingan pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru. Walaupun beberapa pindaan terhadap RUU tersebut telah dicadangkan oleh pihak Kementerian dan dicanangkan kepada penduduk Kampong Baru, SPKB menegaskan bahawa pindaan undang-undang tersebut hanyalah bersifat “kosmetik” dan bertujuan untuk mengaburi mata pemilik dan pewaris tanah semata-mata, yang kononnya Kerajaan telah mendengar pandangan dan bantahan mereka. Hakikatnya, pindaan tersebut tidak membawa makna apa-apa kerana RUU tersebut telahpun dibentangkan di Parlimen dan tidak ditarikbalik sehingga kini.

Justeru itu, SPKB mencabar Kerajaan untuk mendedahkan hasil pungutan suara (referendum) penduduk Kampong Baru berkenaan cadangan pindaan dan RUU tersebut sebelum ia dibentang dan diluluskan di Parlimen. SPKB dimaklumkan bahawa sambutan penduduk, pewaris dan pemilik tanah Kampong Baru amat dingin terhadap referendum Kementerian tersebut. Ini memberikan gambaran yang sangat jelas bahawa penduduk, pewaris dan pemilik tanah menentang keras RUU PPKB 2010.

Oleh itu, Kerajaan digesa untuk menarikbalik RUU PPKB 2010 tersebut sepenuhnya dan diingatkan agar jangan terus zalimi para pemilik dan pewaris tanah dengan mengambil tindakan yang akhirnya akan merugikan mereka dan orang-orang Melayu khususnya.

20 September 2011
AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI
Pengerusi
Sekretariat Pembangunan Kampong Baru (SPKB)