Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan lafaz cerai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuat Muhammad Noor Farhan pada 9 Mei lalu terhadap bekas isterinya Arbaiyah Abd Manan, 37, adalah sah mengikut rukun dan syarak yang ditetapkan.
Dengan itu, mereka berdua yang bernikah pada 9 Julai tahun lepas, telah disahkan bercerai talak satu dalam kes yang didengar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada Rabu 11 Jun.
Arbaiyah yang dikenali ramai sebagai Abby Abadi ketika ditemui berkata, dia redha dan menganggap penceraian itu sebagai ujian daripada Allah.
Dalam laman sosial instagrammnya, Abby lebih awal menulis dalam hantaran selepas subuhnya, “Salam Subuh Saudara2ku, Dari Ummu Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Sallam bersabda: ”Tidak ada seorang hamba pun yang ditimpa musibah lalu berkata; INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAHI RAAJIUN, ALLAHUMMA AJIRNI FII MUSHIIBATI WAKHLUF LII KHAIRAN MINHAA, (sesungguhnya kami ini milik Allah dan akan kembali kepada-Nya. Ya Allah berilah ganjaran kepadaku dari musibah ini dan berilah gantinya yang lebih baik dari padanya), melainkan Allah pasti akan memberikan ganjaran kepadanya dari musibah itu dan menggantikannya dengan YANG LEBIH BAIK daripadanya”. (HR Muslim)