80 Peserta ‘Bertarung’ Pertandingan Memanah Tradisional Piala Presiden PAS

3106

Oleh KAM

MARANG – Seramai 80 peserta dari Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu menyertai Pertandingan Memanah Tradisional Piala Presiden PAS anjuran Kelab Menunggang Kuda dan Memanah Alternatif (AHRAC) Malaysia dengan kerjasama Dewan Tok Guru di Rusila, Marang.

Pengerusinya, Norafendi Zabiri berkata AHRAC mahu menjadikan aktiviti berkuda dan memanah sebagai salah satu seni bela diri.

Selain itu, katanya memanah dan berkuda juga merupakan aktiviti riadhah sama seperti acara sukan-sukan yang lain.

“Sebab itu pada pandangan kita, jika kita memanah untuk sukan, kita akan berlatih untuk kita masuk pertandingan atau sukan. Memanah ini juga untuk kita riadhah.

“Kita mahu bila sebut AHRAC sahaja orang akan ingat PAS. Kita sebagai gerakan Islam, jamaah Islam tidak tertinggal atau ketinggalan untuk menjadi penggerak utama bagi memaju dan mengembangkan sukan ini.

“Khususnya kepada para pemuda kita, anak-anak di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan lain-lain.

“Sukan ini boleh mengeratkan hubungan silaturrahim dan menyihatkan badan selain mengamalkan sunah Nabi (Muhammad) SAW. Harap masyarakat boleh menyokong dan mendokong usaha kita ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Kelab Menunggang Kuda dan Memanah Alternatif (AHRAC) Malaysia oleh Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Muhammad Yusof Abdul Hadi, pada Sabtu 27 Januari.

Menurutnya, AHRAC mahu membawa sukan memanah berkuda ini boleh disertai oleh semua orang walaupun dianggap permainan yang mahal.

Sehubungan itu, Ustaz Muhammad Yusof menerangkan bahawa aktiviti memanah merupakan salah satu sukan kegemaran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Memanah merupakan salah satu dari sukan kegemaran baginda Nabi (Muhammad) SAW, sehingga beliau menyuruh umatnya berlatih atau bersedia untuk memanah.

“Sukan memanah ini sangat digalakkan oleh agama (Islam) kita, bukan sahaja memanah secara berseorangan tetapi juga memanah secara berkuda dan memanah memerlukan latihan yang secukupnya,” jelas beliau.

Menurutnya, tiga jenis sukan yang dituntut diamalkan kepada orang Islam iaitu memanah, berkuda dan berenang.

Ustaz Muhammad Yusof merasmikan program tersebut bagi menggantikan ayahandanya yang juga Presiden PAS kerana menghadiri Himpunan 100K Solidariti dan Munajat Al-Aqsa di Dataran Putrajaya.