6000 Kunjungi Rumah Terbuka PN Hulu

560

Oleh : Ahmad Faizuddin Ismail

HULU TERENGGANU – Seramai 6,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum, menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) Hulu Terengganu semalam.

Pengerusi PN Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid bersyukur kerana majlis jamuan makan itu disambut dengan meriah dan nenjadi wadah penyatuan rakyat.

“Dengan mengambil semangat Keluarga Malaysia kita berjaya berkumpul, duduk di bawah satu bumbung secara harmoni untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri, jelasnya lagi,” jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim berkata, kehadiran tetamu Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional Hulu Terengganu sangat memberansangkan dan diluar jangkaan.

“Saya sangat teruja dan gembira melihat warga Hulu Terengganu yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, kaum, agama dan fahaman politik hadir memeriahkan majlis ini,” katanya


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir dan para petugas yang bertungkus lumus menjayakan majlis tersebut.

Majlis yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang itu dihadiri oleh penduduk sekitar dan juga pemimpin parti politik.

Beberapa orang pimpinan parti politik, wakil badan kerajaan dan NGO turut menyampaikan ucapan hari raya.

Antara pemimpin parti politik yang hadir, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Haji Hussin Awang, Yang Dipertua DUN Terengganu Dato’ Haji Yahaya Ali, Pengerusi parti Pribumi Bersatu Terengganu, Dato’ Razali Idris dan Pengerusi UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Rozi Mamat.

Dalam pada itu, PAS DUN Kuala Berang memenangi kategori gerai terbaik dan PAS DUN Ajil ditempat kedua.