TAWAU – Sebanyak 50 borang keahlian PAS telah diterima daripada warga Merotai sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 Yang bermula sejak 15 November.
Calon Perikatan Nasional (PN) DUN N.72 Merotai, Hasan Haris berkata, penerimaan borang tersebut mencerminkan arus sokongan baharu penduduk terhadap perjuangan PAS dan PN di Merotai.
“Sokongan ini menunjukkan rakyat mahu perubahan. Mereka mahukan wakil yang benar-benar turun padang dan memahami masalah mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyerahkan borang tersebut kepada Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS, Tan Sri Annuar Musa sempen ceramah kelompok di Simpang Tiga Merotai petang Rabu 26 November.
Oleh itu, beliau turut menggesa warga DUN Merotai mendaftarkan diri sebagai ahli PAS melalui Pejabat PAS Kawasan Kalabakan, bagi mengukuhkan gerak kerja akar umbi.
“Pendaftaran ahli penting untuk menguatkan organisasi dan memastikan suara rakyat dapat diperjuangkan dengan lebih tersusun,” ujarnya.


Hasan berharap peningkatan sokongan itu akan menjadi pemangkin kepada momentum menjelang hari pengundian pada 29 November ini.
“Semoga usaha ini membawa perubahan yang lebih baik dan memberi masa depan yang lebih terjamin kepada rakyat Merotai,” katanya.





























