MARANG — Hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan paras air meningkat mendadak, membawa kepada pemindahan besar-besaran penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata pagi ini beliau telah segera meninjau keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Rawai.
“Hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi menyebabkan paras air meningkat dengan cepat, memaksa ramai penduduk dipindahkan demi keselamatan.
“Kita doakan keselamatan semua mangsa dan semoga mereka diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” katanya menerusi satu kenyataan.


Berdasarkan maklumat rasmi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),
Di Daerah Marang menyaksikan 68 mangsa daripada 21 keluarga dipindahkan ke lima PPS antaranya SK Bukit Gasing, SK Simpang Rawai, SK Pengkalan Berangan, Dewan Sivik Pekan Wakaf Tapai dan SK Bukit Payong.
Hujan berterusan telah mencetuskan amaran cuaca bahaya dikeluarkan oleh MetMalaysia untuk beberapa daerah di Terengganu, termasuk Marang, Besut, Setiu, Dungun, Kuala Terengganu, dan kemungkinannya boleh merebak lagi jika hujan terus turun.
Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Tindakan DUN Telemong, Haizat Alapisa Kama pula menasihatkan agar penduduk di kawasan Hulu Terenggau bersiap siaga.
“Dalam suasana begini kita yakin semua pihak kerajaan negeri, agensi kebajikan, NGO dan masyarakat termasuk Jabatan Amalan Malaysia digesa akan meningkatkan keprihatinan dan memberi sokongan segera kepada mangsa.
“Semoga kita semua akan dapat menghadapi dugaan ini dan dipermudahkan segala urusan sebagaimana lazimnya apabila berhadapan musim tengkujuh saban tahun,” ujarnya.





























