‘Tampil solo, bukan keluar Hijjaz’

2648

WALAUPUN sudah biasa membuat persembahan dalam kumpulannya, Hijjaz, itu tidak bermakna salah seorang ahlinya, Ariffin Rahim berani untuk tampil secara solo.

Ekoran itu, rasa gementar Ariffin atau nama sebenarnya Muhammad Ariffin Abdul Rahim segera ditapis setelah menerima tawaran daripada Media Asia Production (MAP).

“Sebenarnya, saya memang sudah lama ingin tampil secara solo.

“Tiada masalah untuk bergerak solo, apa yang penting saya membawa konsep yang berbeza selain tampil dengan idea dan cara tersendiri,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis mesra media bersama artis-artis MAP, baru-baru ini.

Katanya, bersama MAP, dia merakamkan naskhah solo pertamanya, Qiyamulail yang dipetik dari hadis Rasulullah SAW dan diperindah lagi dengan iringan muzik.

AHIJJAZ“Saya akui, album zikir biasa memang banyak di pasaran tetapi tiada yang khusus seperti Qiyamulail.

“Penerbitan album ini sangat penting demi menghidupkan ibadah ini di kalangan masyarakat Islam terutama generasi muda.

“Bagusnya mengenai album ini, saya mesti berfikir sendiri lagu macam mana yang saya nak buat. Ia amat berbeza sekali dengan pengalaman saya sebagai penyanyi latar Hijjaz,” katanya.

Jelasnya, album ini memuatkan 13 trek alunan zikir yang telah disusun semula mengikut trend muzik terkini.

“Konsep yang dipilih adalah untuk memberikan kelainan kepada pendengar.

“Dalam album ini, ada zikir baharu dan zikir yang dinyanyikan semula mengikut lenggok dan ‘rasa’ saya sendiri,” katanya.

Tambahnya, jika sambutan album solonya itu berjaya, dia akan menghasilkan pula album kedua di mana konsep dan pengisiannya sudah pun siap.

Album Qiyamullail yang berharga RM19.90 kini sudah pun berada di pasaran.

Tak abai komitmen

Dalam pada itu, guru sekolah rendah ini memberitahu, kelahiran album solonya itu langsung tidak mengganggu jadualnya dengan Hijjaz.

“Setelah tampil solo, itu tidak bermakna saya akan membelakangkan Hijjaz apatah lagi vokalis utama Hijjaz, Muniff Ahmad turut melakukan perkara sama.

“Saya tidak akan abaikan komitmen saya pada Hijjaz. Walaupun tampil dengan album solo, keutamaan tetap diberikan kepada Hijjaz.

“Insya-Allah, hebat mana sekalipun projek album solo, saya tidak akan keluar daripada kumpulan ini,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, kata Ariffin, Hijjaz baharu saja menyiapkan album ke-20 mereka, Selawat Nabi 2 : Himpunan Selawat Popular yang akan dilancarkan tidak lama lagi.-Sinar Harian