Pemberian ubat Intravena Venofer kepada ibu hamil yang mengalami anemia adalah satu bentuk rawatan perubatan. Dalam konteks puasa Ramadan, isu utama adalah sama ada rawatan ini membatalkan puasa atau tidak.
Secara umum, perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah apa-apa yang masuk ke dalam rongga badan melalui saluran terbuka seperti mulut, hidung, telinga, atau kemaluan, dengan sengaja dan bukan untuk tujuan perubatan yang tidak dapat dielakkan.
Mengenai suntikan atau infusi IV, pandangan ulama kontemporari cenderung kepada tidak membatalkan puasa jika ia bukan bertujuan untuk memberikan nutrisi atau makanan. Jika suntikan atau infusi itu adalah untuk tujuan perubatan semata-mata, seperti ubat atau garam mineral, dan tidak memberikan zat makanan kepada tubuh, maka ia tidak membatalkan puasa. Namun, jika ia adalah infusi nutrisi (seperti glukosa atau makanan cecair) yang menggantikan makanan, maka ia membatalkan puasa.
Dalam kes Venofer (zat besi) yang diberikan secara intravena untuk merawat anemia pada ibu hamil, ia adalah ubat dan bukan nutrisi yang menggantikan makanan. Oleh itu, mengikut pandangan majoriti ulama kontemporari, pemberian Venofer secara IV tidak membatalkan puasa.
Walau bagaimanapun, ibu hamil yang mengalami anemia dan memerlukan rawatan ini mungkin juga berada dalam keadaan yang MEMBOLEHKAN mereka BERBUKA PUASA. Islam memberikan rukhsah (keringanan) kepada ibu hamil dan menyusukan anak untuk tidak berpuasa jika mereka bimbang akan kesihatan diri atau anak mereka.
Hukum Ibu Hamil Berbuka Puasa:
“الفقهاء متفقون على أن الحامل والمرضع لهما أن تفطرا في رمضان، بشرط أن تخافا على أنفسهما أو على ولدهما المرض أو زيادته، أو الضرر أو الهلاك، فالولد من الحامل بمنزلة عضو منها، فالإشفاق عليه من ذلك كالإشفاق منه على بعض أعضائها.”
Terjemahan: “Para fuqaha’ (ahli fiqh) bersepakat bahawa wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak dibolehkan berbuka puasa di bulan Ramadan, dengan syarat mereka bimbang akan diri mereka atau anak mereka ditimpa penyakit atau bertambah sakit, atau kemudaratan atau kebinasaan. Anak dalam kandungan ibu hamil adalah seperti sebahagian daripada anggotanya, maka kebimbangan terhadapnya adalah seperti kebimbangan terhadap sebahagian daripada anggota badannya.”
Sumber: Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyah, Jilid 29, halaman 54
Kewajipan Qada’ dan Fidyah bagi Ibu Hamil:
“إذا أفطرت الحامل خوفا على ولدها فعليها مع القضاء الفدية طعام مسكين عن كل يوم لما روي عن ابن عباس رضي الله عنه في قوله تعالى : وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين أنه نسخ حكمه إلا في حق الحامل والمرضع إذا خافتا على أولادهما .”
Terjemahan: “Jika wanita hamil berbuka puasa kerana bimbang akan anaknya, maka wajib baginya qada’ (mengganti puasa) bersama fidyah (memberi makan seorang miskin) bagi setiap hari, berdasarkan riwayat daripada Ibn Abbas RA mengenai firman Allah SWT: ‘Dan wajib atas orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin.’ Bahawa hukumnya dimansukhkan kecuali bagi wanita hamil dan menyusukan anak jika mereka bimbang akan anak-anak mereka.”
Sumber: Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyah, Jilid 17, halaman 271
Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga




























