Bunuh awam: Tentera AS dipenjara seumur hidup

767

Ketua sebuah unit tentera Amerika Syarikat yang bertanggungjawab atas pembunuhan rambang orang awam Afghanistan telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, kelmarin.

Setelah perbicaraan di mahkamah tentera selama seminggu, Staf Sarjan Calvin Gibbs didapati bersalah atas 15 tuduhan termasuk tiga tuduhan pembunuhan dirancang, oleh panel ketenteraan seramai lima anggota.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di selatan Afghanistan antara Januari hingga Mei tahun lalu.

Menurut panel tersebut, Gibbs akan menjalani hukuman penjara sekurang-kurangya 10 tahun sebelum layak diberi parol.

Pihak pendakwa raya menggambarkan Gibbs sebagai ketua sebuah unit ‘penyangak’ yang juga mengambil anggota badan mangsa mereka sebagai cenderamata peperangan.

Tiga anggota unit tersebut sudah pun mengaku bersalah dalam skandal yang berpotensi memalukan tentera Amerika seperti mana skandal penganiayaan tahanan penjara Abu Ghraib di Iraq, yang didedahkan pada 2004.

Setiap tuduhan membunuh membawa hukuman penjara minimum seumur hidup dan pihak pendakwa berkata Gibbs tidak wajar diberikan parol.

Dia dituduh merancang pembunuhan, meletakkan senjata di badan mangsa supaya mereka kelihatan seperti pejuang dan kemudian memotong jari dan mencabut gigi mangsa untuk ditayangkan kepada rakan-rakan sekerjanya.

Perbicaraan Gibbs di mahkamah tentera bermula minggu lalu dan dalam kemunculan yang tidak disangka semalam, Gibbs membuat dakwaan bahawa unitnya benar-benar terlibat dalam pertempuran.

Namun, dia mengakui mengambil jari dan gigi daripada mayat mangsanya.

‘Dalam fikiran saya, ia seperti menyimpan tanduk rusa yang ditembak,’ katanya.

Pihak pendakwa menolak dakwaannya semasa hujah penutup yang berlangsung selama sejam di markas Briged Stryker Kelima Amerika.

Peguam bela Gibbs membalas hujah pendakwa dengan menyoal kredibiliti Privet Jeremy Morlock dan dua lagi anggota unit Gibbs yang menerima hukuman lebih ringan setelah mengaku bersalah dan bersetuju memberi keterangan terhadap Gibbs.

Selain membidas keterangan Morlock, peguam bela Gibbs menghabiskan masa lebih dua jam berhujah sambil menarik perhatian kepada percanggahan bukti dalam usaha mengubah pendirian panel juri tentera.

Namun, pihak pendakwa berkata andaian bahawa Morlock dan anggota unit yang lain sanggup mengaku bersalah atas tuduhan membunuh dalam usaha membuat Gibbs kelihatan bersalah sebagai sesuatu yang tidak masuk akal. — AFP.