Oleh : KAM
KUALA TERENGGANU – Bidang kewartawanan dan penulisan merupakan satu jihad yang sangat besar pahalanya jika digunakan dengan cara yang betul bagi membela serta menyedarkan masyarakat.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata di barat ada wartawan yang dipenjarakan kerana menyebarkan maklumat benar.
“Bidang kewartawanan, bidang penulisan adalah satu jihad. Perjuangan yang sangat besar untuk membela masyarakat, menyedarkan masyarakat akan dapat pahala besar.


“Kita orang Islam ada hitungan dosa pahala. Sebaliknya, jika kita siar maklumat yang betul. MengIslahkan masyarakat, membaiki masyarakat dapat pahala.
“Sebab apa yang kita tulis itu orang baca, dia (penulis) mati tetapi pahala itu sampai dalam kubur. Tapi, jika apa yang kita tulis itu tidak betul, apabila kita mati…dosa sampai dalam kubur, kekal.
“Ini bahayanya, jangan buat mudah-mudah. Saya hendak peringatlah,” tegasnya ketika menjawab persoalan peserta Dailog Rakyat Bersama PAS di sebuah hotel, di Kuala Terengganu pada 31 Oktober.
Soalan seorang peserta dailog menyatakan, dunia hari ini pernuh dengan persepsi yang dimainkan di media massa seperti fecebook, twitter dan whatsapp yang kebanyakkannya diambil ucapan sekerat-sekerat dan dimanipulasikan hingga menimbulkan persepsi.
Sehubungan itu, Ustaz Abdul Hadi mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan teknologi maklumat dengan menyiarkan berita bohong.


Bahkan, katanya media baharu itu umpama ‘senjata’ yang boleh digunakan bagi tujuan baik dan buruk.
“Media baru ini adalah senjata maklumat, macam senjatalah (boleh) guna untuk pertahankan diri, untuk halang musuh, untuk merompak..boleh belaka. Itulah teknologi maklumat.
“Nabi Muhammad SAW pernah ditunjukkan satu peristiwa di alam barzakh (ghaib). Ada di kalangan orang yang disiksa di dalam neraka. Ada orang yang disangkut matanya hingga ke belakang dengan pencakut besi hingga menembusi pipi ke belakang.
“Nabi SAW bertanya siapa mereka itu. Jawab Jibril, inilah di kalangan manusia yang bangun pagi kerjanya menyebarkan maklumat bohong ke seluruh ufuk dunia.
“Masa itu tidak ada internet lagi tetapi Nabi SAW telah sebut bangun pagi sebarkan maklumat ke seluruh ufuk, zaman dahulu tidak ada internet ini mukjizat Nabi SAW,” jelasnya.


“Dengan sebab itu, jangan main-main buat mudah dengan media baharu ini. Ada orang buat cerita seronok-seronok tentang orang itu mati sedangkan tidak mati. Sama ada kepada kawan atau pun lawan.
“Buat kepada lawan pun tidak boleh apatah lagi kawan. Walau pun kepada musuh kita, tidak boleh. Siar maklumat bohong kerana dari maklumat itu menjadi fitnah. Ini saya hendak peringat,” tegasnya dihadapan lebih 130 orang peserta dialog tersebut.




























