KUALA TERENGGANU – Ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai pendidik pertama dalam membentuk akhlak dan sahsiah anak-anak, bukannya menyerahkan tanggungjawab pendidikan sepenuhnya kepada pihak sekolah.
Timbalan Ketua Pemuda PAS DUN Bandar, Ustaz Muhammad Najmuddin Ulwan Mohd Hamdan berkata, rumah merupakan madrasah pertama yang mencorakkan keperibadian anak-anak sebelum mereka menerima pendidikan formal di sekolah.
Menurutnya, guru hanya membimbing anak-anak sepanjang berada di sekolah, manakala ibu bapa bertanggungjawab meneruskan didikan agama, nilai murni dan adab dalam kehidupan seharian.

“Orang yang pertama perlu memainkan peranan dalam pembentukan anak-anak, akhlak dan sahsiah mereka adalah bermula daripada rumah, khususnya ibu dan ayah.
“Madrasah pertama bagi anak-anak adalah di rumah mereka sendiri,” katanya ketika merasmikan Majlis Ihtifal PASTI Al-Huda 1 dan 2 di Dewan Kokitab, di sini, sabtu.
Tambahnya, tanggungjawab tersebut semakin penting dalam menghadapi cabaran teknologi yang mempengaruhi perkembangan anak-anak masa kini.

Katanya, penggunaan gajet tidak boleh dinafikan sepenuhnya kerana ia sebahagian daripada perkembangan zaman, namun perlu disertai kawalan dan bimbingan berteraskan agama.
Beliau turut mengingatkan bahawa pendidikan akhlak perlu diberikan perhatian serius bagi membendung gejala sosial dalam kalangan generasi muda termasuk buli, rokok dan vape.
Menurutnya, penerapan pendidikan agama, penghayatan al-Quran, hadis dan sirah serta pembentukan adab sejak peringkat prasekolah merupakan asas penting dalam melahirkan generasi berakhlak mulia.
“Setinggi mana pun akademik anak-anak, sebesar mana pun jawatan dan kedudukan yang dimiliki, tanpa nilai akhlak, semuanya tidak bermakna,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Cawangan, Abas Madani turut menegaskan bahawa kejayaan pendidikan anak-anak tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira pengamalan nilai agama dan akhlak dalam kehidupan.
Ujarnya lagi, ibu bapa perlu meneruskan amalan yang diajar di sekolah seperti membaca doa, mengaji dan menjaga adab ketika anak-anak berada di rumah.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada guru-guru PASTI yang bukan sahaja mengajar kemahiran asas membaca dan mengira, malah memainkan peranan besar membentuk peribadi anak-anak meskipun berdepan pelbagai ragam dan kerenah mereka.
Majlis Ihtifal berkenaan turut meraikan 103 anak PASTI berusia empat hingga enam tahun, membabitkan 68 murid PASTI Al-Huda 1 dan 35 murid PASTI Al-Huda 2.









