BESUT – Keprihatinan terhadap kesempitan hidup golongan kurang berkemampuan mendorong seorang penderma tampil membeli seekor lembu untuk diagihkan secara percuma kepada 405 penerima asnaf di sekitar Kota Putera.
Agihan daging dan tulang itu disampaikan melalui pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Tapak Pasar Malam Kampung Raja, sempena Program Jualan Daging Berkat Kota Putera Siri Kelima.
Yang Diipertua PAS Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, tindakan penderma terbabit tercetus selepas menyaksikan sendiri seorang bapa kepada lapan anak yang tidak mampu membeli daging walaupun harga jualan telah diturunkan.
Menurutnya, lelaki terbabit yang sudah lama tidak menjamah daging terpaksa membatalkan hasrat membeli sekilogram atau setengah kilogram daging kerana kekangan kewangan.
“Masih ada orang yang datang mengelilingi khemah kita ini, hendak membeli dengan harga yang telah kita turunkan pun masih tidak mampu lagi.

“Alhamdulillah ada insan yang pemurah, mudah-mudahan dapatlah kita agihkan lagi kepada penduduk kita yang susah. Inilah tujuan kita mengadakan Pasar Berkat ini,” jelasnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu
selepas program.
Tambahnya, kejadian tersebut membuktikan bahawa inisiatif jualan pada harga rendah perlu disertai pendekatan kebajikan supaya golongan yang benar-benar tidak berkemampuan turut mendapat manfaat.
Program Jualan Daging Berkat Kota Putera Siri Kelima bukan sahaja menawarkan bekalan daging pada harga lebih rendah kepada masyarakat setempat.
Malah turut membuka ruang kepada golongan asnaf menerima bantuan makanan secara langsung.
Agihan sebanyak 405 bungkus itu menjadi sebahagian daripada usaha memastikan golongan yang berdepan kekangan kewangan tidak terpinggir daripada menikmati keperluan makanan asas.










