BESUT – Permintaan tinggi terhadap daging segar pada harga mampu milik menyaksikan sehingga 1.4 tan bekalan habis diagihkan seawal jam 7 pagi menerusi Program Jualan Daging Berkat Kota Putera Siri Kelima di Tapak Pasar Malam Kampung Raja.
Program yang digerakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman itu menawarkan daging segar campur tulang pada harga subsidi RM20 sekilogram, dengan sebahagian bekalan ditempah lebih awal secara dalam talian dan selebihnya dibuka kepada pembelian secara terus.
Menurut beliau, sebanyak 620 kilogram daging telah ditempah menerusi sistem dalam talian, manakala baki bekalan diperuntukkan kepada penduduk yang hadir secara walk-in.
Katanya, sambutan itu lebih menarik kerana jualan kali ini diadakan pada pertengahan bulan, berbanding kebiasaannya pada hujung bulan, namun permintaan penduduk tetap tinggi.
“Ini menunjukkan permintaan terhadap bekalan makanan pada harga yang mampu milik masih sangat tinggi. Kita menerima permohonan daripada penduduk yang mahu mendapatkan bekalan sehingga lima kilogram untuk kegunaan keluarga.
“Sebab itu had pembelian yang sebelum ini ditetapkan dua kilogram dilonggarkan bagi membolehkan lebih ramai mendapatkan jumlah yang diperlukan,” katanya ketika ditemui di tapak program.
Tambahnya, pelaksanaan sistem tempahan awal turut membantu pihak pengurusan menganggarkan jumlah sebenar permintaan sekali gus menentukan bilangan lembu yang perlu disembelih.

“Tempahan dalam talian sangat membantu kerana kita dapat mengetahui jumlah keperluan sebenar dan mengelakkan pembaziran atau lebihan bekalan.
“Jika tempahan tidak dituntut sebelum jam 10 pagi, bekalan itu akan dijual kepada pelanggan walk-in yang sedang beratur,” ujarnya.
Mengulas harga RM20 sekilogram, beliau berkata pendekatan tersebut membuktikan pengurusan subsidi di peringkat DUN mampu membantu rakyat mendapatkan daging segar pada harga lebih rendah.
Katanya, walaupun kuasa menurunkan harga barang secara menyeluruh berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, usaha di peringkat tempatan tetap penting bagi mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah.
“Ini usaha kita di peringkat DUN Kota Putera untuk membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup. Kita mahu nikmat harga yang lebih rendah ini dapat dirasai bersama,” tambah beliau.
Sementara itu, operasi penyembelihan dimulakan seawal jam 6:15 pagi dengan anggaran keseluruhan lembu sekitar 2.8 tan berat hidup bagi memastikan bekalan dapat diagihkan kepada penduduk dalam tempoh yang ditetapkan.
Program berkenaan turut memperlihatkan pendekatan jualan berasaskan tempahan awal dan permintaan sebenar sebagai langkah memastikan bekalan subsidi dapat disalurkan dengan lebih teratur kepada golongan yang memerlukan.










