Australia, Kanada, Itali dan United Kingdom (UK) menggesa Israel supaya segera membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, ketika penduduk Palestin berdepan krisis perlindungan dan bekalan asas yang semakin meruncing menjelang musim sejuk.
Dalam kenyataan bersama, empat negara itu menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan di Gaza, khususnya selepas hujan lebat dan banjir menyebabkan kemusnahan khemah serta tempat perlindungan sementara penduduk yang kehilangan rumah akibat perang.
Mereka mendedahkan kira-kira 150,000 khemah dan bekalan penting lain masih tertahan di sempadan, sekali gus menghalang usaha menyediakan perlindungan kepada keluarga Palestin yang terdedah kepada cuaca buruk.
“Penduduk Gaza amat memerlukan tempat perlindungan dan bantuan kemanusiaan. Namun, 150,000 khemah dan bekalan penting lain masih tertahan di sempadan dan dihalang daripada memasuki Gaza,” menurut kenyataan itu.
Keempat-empat negara menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan perlu dibenarkan masuk dengan segera, pantas dan tanpa halangan bagi mengelakkan penderitaan penduduk terus meningkat.
Mereka turut mendesak Israel membuka semua lintasan sempadan Gaza serta membenarkan kemasukan bekalan bantuan, peralatan kemanusiaan dan bahan yang diperlukan bagi operasi pemulihan awal.
Menurut kenyataan itu, keadaan kemanusiaan masih boleh diperbaiki sekiranya tindakan segera diambil sebelum musim sejuk menjadi lebih buruk.
Gesaan berkenaan turut menekankan kepentingan menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta memastikan penduduk awam mendapat perlindungan dan bantuan yang sewajarnya.
Krisis kemanusiaan Gaza terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa, khususnya berikutan kemusnahan infrastruktur, kehilangan tempat tinggal dan kesukaran mendapatkan keperluan asas yang dihadapi penduduk Palestin.









