Terengganu, Malaysia

PRN Melaka Isyarat Perubahan, Cetus Gelombang Menuju Putrajaya

PRN Melaka Isyarat Perubahan, Cetus Gelombang Menuju Putrajaya

KUALA TERENGGANU – Kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka disifatkan sebagai isyarat perubahan sentimen politik rakyat yang berpotensi mencetuskan gelombang lebih besar menuju Putrajaya.

Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, perkembangan itu bukan sekadar angka kemenangan, sebaliknya membawa mesej penting bahawa suara dan kehendak rakyat tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, perkembangan politik di Johor, Negeri Sembilan dan kini Melaka memperlihatkan satu rentetan perubahan yang perlu diberikan perhatian serius kerana setiap keputusan pilihan raya membawa mesej tersendiri terhadap masa depan politik negara.

“Saya yakin perjuangan ini akan terus bergerak dan segala perkembangan yang berlaku hari ini akan menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju Putrajaya.

” Gelombang biru Melaka tidak boleh terhenti di sini kerana Putrajaya adalah medan perjuangan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada hari ini.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera yang menggembleng tenaga dan mengorbankan masa sepanjang kempen, khususnya anak muda Dewan Pemuda PAS Terengganu yang silih berganti turun membantu calon Perikatan Nasional di DUN Bukit Katil.

Katanya, segala pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang dicurahkan sepanjang tempoh berkempen amat dihargai, selain menyifatkan usaha berkenaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab perjuangan yang perlu diteruskan dengan penuh keikhlasan.

“Jangan sesekali berhenti bekerja. Pilihan raya mungkin telah selesai, tetapi amanah dan tanggungjawab kita kepada rakyat tidak pernah berakhir. Jangan leka dengan kemenangan, jangan alpa dengan pencapaian dan jangan sesekali mengendurkan gerak kerja.

“Kita mesti terus memperkukuh saf, memperkemas jentera dan memperhebat khidmat kepada rakyat kerana perjuangan ini masih panjang. Pintu Putrajaya sedang menanti kepimpinan baharu yang bakal membawa perubahan kepada negara,” jelas beliau

Beliau turut mengajak seluruh jentera menjadikan setiap pengorbanan sepanjang pilihan raya sebagai amal soleh dengan mengharapkan segala usaha dan khidmat yang dicurahkan diterima Allah SWT.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan