MELAKA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir Ahmad Samsuri Mokhtar, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka, khususnya pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada jentera Barisan Nasional (BN) dan PN, calon-calon yang bertanding, petugas serta sukarelawan yang bekerja keras sepanjang perjalanan pilihan raya berkenaan.
Dalam kenyataan pada 14 November, Ahmad Samsuri berkata setiap usaha, sokongan dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang PRN Melaka amat besar nilainya.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Melaka, khususnya para pengundi yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan menyempurnakan tanggungjawab demokrasi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada hari ini,” katanya.
Beliau turut menghargai peranan pihak berkuasa, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan semua pihak yang memastikan proses demokrasi berlangsung dengan lancar, aman dan teratur.
Menurutnya, kesepakatan serta semangat muafakat yang dibina antara BN dan PN sepanjang pilihan raya itu merupakan pengalaman penting dalam perjalanan politik negara.
Ahmad Samsuri berkata perjuangan politik tidak seharusnya terhenti selepas berakhirnya pilihan raya, sebaliknya perlu terus berpaksikan amanah, prinsip dan kepentingan rakyat.
“Kepada seluruh jentera dan pendukung sekalian, perjuangan ini lebih besar daripada sebuah pilihan raya. Amanah, prinsip dan kepentingan rakyat akan terus menjadi landasan perjuangan kita,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataan tersebut dengan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka atas sokongan dan penglibatan mereka dalam proses demokrasi negeri itu.










