Terengganu, Malaysia

Puteri Umno Terengganu Bantu Kempen Calon PAS Bukit Katil

Puteri Umno Terengganu Bantu Kempen Calon PAS Bukit Katil

KUALA TERENGGANU – Kerjasama antara jentera PAS dan Umno dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di DUN N17 Bukit Katil semakin terserlah apabila Puteri Umno turut menyertai gerak kerja kempen membantu calon PAS, Haji Ridzuan Sarif.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, penglibatan Puteri Umno itu menunjukkan komitmen kedua-dua parti untuk menggerakkan jentera secara bersama sepanjang tempoh kempen.

Menurut beliau, kerjasama berkenaan bukan sahaja berlaku dalam program ceramah, malah turut diterjemahkan menerusi gerak kerja di lapangan.

“Kerjasama antara jentera PN dan BN nampak berjalan baik dan komitmen kedua-dua parti, khususnya BN untuk memberi sokongan kepada calon PAS agak baik.

“Setiap kali ceramah ada sahaja wakil Umno turut berceramah bersama dan apabila berkempen juga turut dibantu oleh jentera Umno,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, penyertaan Puteri Umno dalam pasukan kempen turut memperlihatkan gerak kerja bersama semakin berkembang selepas beberapa kelemahan dikenal pasti pada peringkat awal.

Katanya, PAS Besut turut menyusun kekuatan jentera secara berperingkat melalui empat gelombang membabitkan DUN Hulu Besut, Kota Putera, Jertih dan Kuala Besut.

“Kita merancang gerak kerja ini dan bermula 7 haribulan, keterlibatan Puteri Umno akan bersama dalam pasukan kempen setiap kali kita turun ke Bukit Katil,” katanya.

Menurutnya, perkembangan itu memberi gambaran positif terhadap tahap kerjasama jentera di lapangan dalam usaha memastikan kempen calon PAS dapat digerakkan dengan lebih menyeluruh.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan