Terengganu, Malaysia

PRN Melaka; 150 Ahli BERSATU Hang Tuah Jaya Keluar Parti

PRN Melaka; 150 Ahli BERSATU Hang Tuah Jaya Keluar Parti

Gambar – Bekas ketua Bersatu, berpelukan dengan calon PN Bukit Katil, Ridzuan Sarif

HANG TUAH JAYA – Seramai 150 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Hang Tuah Jaya bersama barisan pimpinan dan ketua cawangan mengumumkan keputusan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Langkah tersebut diambil bagi menyatakan sokongan terbuka kepada Barisan Nasional (BN) dan gabungan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bekas Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Hang Tuah Jaya, Md Firdaus Hj Mashor menegaskan bahawa keputusan kolektif berkenaan didorong oleh keperluan kestabilan politik dan kepimpinan yang benar-benar mendengar suara akar umbi.

“Kekuatan sesebuah parti bukan sekadar diukur di peringkat tertinggi, sebaliknya bergantung kepada kesediaan membela kebajikan jentera dan mendekati rakyat. Penghijrahan ini bukan atas dasar permusuhan, tetapi memilih hala tuju yang diyakini demi masa depan,” katanya dalam kenyataan media di sini, malam ini.

Menurut Md Firdaus, keputusan itu turut berpandukan gagasan ‘Rumah Bangsa’ anjuran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dilihat mampu menyatukan semula orang Melayu dan umat Islam atas semangat muafakat.

PRN Melaka; 150 Ahli BERSATU Hang Tuah Jaya Keluar Parti

Tindakan keluar parti itu melibatkan beberapa pemimpin utama jawatankuasa bahagian serta ketua cawangan dari Batu Hampar, Padang Jambu, Pasir Putih, Paya Dalam dan Kandang yang merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu dan DUN Ayer Molek.

Kumpulan berkenaan kini merancang untuk menggerakkan sokongan padu kepada calon-calon BN pada pilihan raya akan datang bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta kebajikan penduduk setempat terus terjamin.

Md Firdaus turut menzahirkan penghargaan kepada UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya atas keterbukaan yang diberikan, selain menyeru agar hubungan silaturahim sesama rakan terdahulu tetap terpelihara.

Beliau menegaskan iltizam mereka untuk terus berkhidmat kepada komuniti setempat dan memastikan aspirasi rakyat di Parlimen Hang Tuah Jaya sentiasa diutamakan.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan