Terengganu, Malaysia

PAS Seru Warga Dungun Tingkat Kesiapsiagaan Hadapi MTL

PAS Seru Warga Dungun Tingkat Kesiapsiagaan Hadapi MTL

DUNGUN – PAS Kawasan Dungun menyeru seluruh masyarakat di daerah ini, khususnya penduduk yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai dan lokasi berisiko banjir, supaya meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Dato’ Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli berkata, penduduk perlu sentiasa berwaspada berikutan kemungkinan berlakunya banjir susulan amaran hujan berterusan (buruk) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Menurutnya, berdasarkan maklumat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, beberapa kawasan dalam lembangan sungai di Terengganu berpotensi mengalami banjir, terutama kawasan hotspot, tanah rendah dan lokasi yang dikenal pasti berisiko.

“Bagi daerah Dungun, kawasan yang perlu diberikan perhatian melibatkan Lembangan Sungai Dungun yang merangkumi Sungai Dungun, Sungai Merung, Sungai Kelemin dan Sungai Loh, selain Lembangan Sungai Paka serta Lembangan Sungai Sura.

“Amaran berkenaan melibatkan tempoh 9 hingga 11 November 2026. Justeru, penduduk perlu memantau keadaan cuaca dan paras air sungai dari semasa ke semasa serta tidak mengambil mudah sebarang perkembangan yang boleh mengancam keselamatan,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk supaya sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan makluman rasmi pihak berkuasa, selain membuat persediaan awal termasuk menyimpan dokumen penting, ubat-ubatan serta keperluan asas di tempat yang selamat dan mudah dibawa sekiranya diarahkan berpindah.

Tegasnya, perhatian khusus juga perlu diberikan kepada golongan rentan termasuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya bagi memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya sekiranya berlaku banjir.

“Jangan mengambil risiko meredah arus atau melalui jalan yang telah dinaiki air, sebaliknya patuhi arahan pihak berkuasa dan utamakan keselamatan diri serta keluarga,” jela beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru ketua-ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), sukarelawan serta agensi keselamatan dan pasukan bantuan bencana supaya memperkukuh kerjasama dan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, usaha membantu masyarakat ketika berdepan bencana merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira latar belakang.

“Marilah kita menghadapi musim Monsun Timur Laut ini dengan tenang, berwaspada dan saling membantu antara satu sama lain. Semoga Allah SWT melindungi seluruh warga Dungun daripada sebarang musibah serta mempermudahkan segala urusan,” katanya.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan