Oleh : Fatimah Din
MARANG – Surah An-Nur diturun untuk menyuluh cahaya kehidupan dengan menekankan adab bermasyarakat dan berumahtangga, demi membina kehidupan yang harmoni serta diredai Allah SWT.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Marang, To’ Puan Zarani Othman berkata, surah berkenaan mengandungi pelbagai panduan berkaitan pembentukan masyarakat Islam yang berakhlak, menjaga maruah serta memelihara keharmonian dalam kehidupan seharian.
“Antara perkara utama yang diberi perhatian ialah bahaya fitnah dan penyebaran berita palsu yang boleh membawa kerosakan besar terhadap individu, keluarga dan masyarakat, ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program Bicara Surah An-Nur peringkat DUN Pengkalan Berangan yang berlangsung di Masjid Pengkalan Berangan pada 5 Oktober.
Menurutnya,, Surah An-Nur ayat 11 mengisahkan peristiwa fitnah terhadap Saidatina Aisyah r.a., Ummul Mukminin, yang menjadi pengajaran penting kepada umat Islam supaya tidak mudah menerima atau menyebarkan sesuatu berita tanpa memastikan kesahihannya.
“Fitnah hari ini berada di hujung jari. Media sosial menjadi ruang yang sangat mudah untuk manusia menyebarkan tuduhan dan berita yang belum tentu benar.
“Justeru, kita perlu berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu kerana satu perkongsian yang tidak benar boleh menjejaskan maruah seseorang dan menggugat keharmonian masyarakat,” jelasnya.


Dalam pada itu, Ketua Muslimat PAS Negeri Terengganu itu, turut menjelaskan bahawa nama Surah An-Nur mempunyai kaitan dengan cahaya yang Allah SWT sebutkan dalam ayat ke-35 sebagai cahaya yang menerangi langit dan bumi.
Menurutnya, cahaya tersebut juga menjadi simbol petunjuk Allah SWT yang membimbing hati orang beriman agar sentiasa berada di jalan yang benar dalam setiap urusan kehidupan.
“Hati orang beriman perlu sentiasa dipandu dengan cahaya Allah SWT. Sebab itu, setiap tindakan kita perlu sentiasa mengingati Allah, termasuk perkara yang dianggap kecil dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembentukan keluarga dan masyarakat yang baik bermula daripada diri sendiri dengan membiasakan diri menjaga pandangan, tutur kata, tingkah laku serta batas-batas yang telah ditetapkan oleh syariat.
Katanya, penghayatan terhadap Surah An-Nur bukan sekadar memahami ayatnya, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan agar diri, keluarga dan masyarakat sentiasa terpelihara daripada perkara yang boleh merosakkan akhlak serta iman.
“Setiap tindakan kita, hatta ketika melihat cermin sekalipun, hendaklah sentiasa mengingati Allah SWT supaya diri, keluarga dan masyarakat terus dipelihara sebagai hamba yang taat sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW,” katanya.






























