Rundingan Pembahagian Kerusi PRN Melaka Masih Berlangsung

4

MARANG – Rundingan pembahagian kerusi antara PAS dan parti-parti berkaitan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih berlangsung dan belum dimuktamadkan.

Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, jumlah kerusi yang bakal ditandingi PAS juga masih belum ditetapkan kerana rundingan masih berjalan.

“Melaka, pilihan raya belum diumumkan lagi. Kita dalam perundingan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha pada Jumaat di Masjid Rusila.

Menurut beliau, antara perkara yang menjadi perhatian PAS ialah memastikan kepimpinan Melayu-Islam menerajui Negeri Melaka.

“Yang penting di Melaka ini ialah pimpinan Melayu-Islam pimpin Negeri Melaka. Kita tolak Pakatan Harapan,” katanya.

Ditanya mengenai pendirian PAS sekiranya Barisan Nasional (BN) memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), beliau berkata perkara itu bergantung kepada keputusan BN.

“Ya, itu atas dialah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PAS akan terus berusaha supaya PH tidak memenangi PRN Melaka.

“Kita tetaplah. Kita usahakan supaya PH kalah di Melaka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan kerjasama PAS-BN, beliau berkata perkara tersebut masih dalam perbincangan, termasuk soal penggunaan logo pada PRN Melaka.

“Logo PAS pun boleh guna, tak ada masalah,” katanya.

Namun, ketika ditanya sama ada logo BN akan digunakan sekiranya kerjasama dengan BN tercapai, beliau menjelaskan perkara itu masih belum diputuskan.

“Itu masih dalam perbincangan,” katanya.

Tuan Guru turut menegaskan bahawa jumlah kerusi yang akan ditandingi PAS hanya akan ditentukan selepas rundingan antara parti-parti terlibat selesai.

Sebelum ini, rundingan PAS-BN bagi menghadapi PRN Melaka dilaporkan masih berjalan. Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 26 September lalu berkata rundingan tersebut telah mencapai lebih 50 peratus.

Sehubungan itu, sebarang keputusan berkaitan pembahagian kerusi, penggunaan logo dan bentuk kerjasama antara parti bagi PRN Melaka masih tertakluk kepada rundingan dan belum dimuktamadkan.