Pemuda PAS Santuni Anak Muda Secara Berterusan

219

KUALA TERENGGANU – Program ziarah kebajikan yang dilaksanakan Pemuda PAS Negeri Terengganu merupakan sebahagian daripada inisiatif Jelajah Pemuda Negeri Terengganu ke Pemuda Kawasan yang digerakkan bagi menyantuni anak-anak muda secara lebih dekat dan berfokus.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Muhammad Hamdi Harun berkata, program berkenaan bermatlamat untuk mendengar sendiri denyut nadi golongan muda serta meringankan beban mereka yang sedang berdepan ujian kehidupan.

“program ziarah kebajikan ini bertujuan untuk menyantuni anak-anak muda secara dekat, mendengar sendiri suara dan keresahan mereka, di samping membantu meringankan beban golongan yang sedang diuji, “ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, pendekatan ziarah yang dilaksanakan bukan bersifat bermusim, sebaliknya digerakkan secara berkala dan berterusan dengan keutamaan diberikan kepada kes-kes yang memerlukan perhatian segera serta pemantauan susulan.

“Ini bukan program bermusim. Ia dilaksanakan secara konsisten dan berterusan, dengan fokus kepada kes yang benar-benar memerlukan perhatian segera serta tindakan susulan,” katanya.

Mengulas sasaran program, beliau berkata ziarah kebajikan itu memberi tumpuan khusus kepada pemuda yang sedang berdepan kesakitan dan tekanan hidup, masih mencari arah dan bimbingan, memikul tanggungjawab besar dalam keluarga, aktif berkhidmat kepada masyarakat serta pemuda yang belum tersentuh dengan gerakan dakwah.

“pendekatan ziarah ini bukan sekadar menyalurkan bantuan material, tetapi usaha membina jiwa, keyakinan diri dan rasa kebersamaan dalam kalangan pemuda, “, jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PAS khususnya melalui sayap Pemuda kekal konsisten menyantuni masyarakat tanpa mengira musim pilihan raya kerana kerja kebajikan merupakan tuntutan agama dan amanah perjuangan.

“Bagi kami, politik tidak terhenti di pentas pilihan raya semata-mata, sebaliknya diterjemahkan melalui kehadiran, khidmat dan penyelesaian masalah rakyat secara berterusan,” ujarnya.

Memasuki tahun baharu, katanya, Pemuda PAS Negeri Terengganu beriltizam untuk terus turun ke lapangan secara istiqamah serta memperkemaskan gerak kerja kebajikan agar lebih tersusun, berkesan dan memberi impak sebenar.

“Fokus kami adalah kepada pengukuhan jentera kebajikan, pendampingan pemuda dan pelaksanaan khidmat dengan adab, hikmah serta penuh rahmah,” katanya.

Beliau turut berharap agar setiap usaha kebajikan yang dilaksanakan menjadi sebab turunnya rahmat Allah SWT serta dipermudahkan urusan rakyat dan negeri Terengganu.