KUALA TERENGGANU — Menutup tirai 2025, Negeri Terengganu memilih pendekatan unik dalam Sambutan Ambang Tahun Baru dengan menekankan munajat, selawat dan refleksi diri, menggantikan sorakan dan pesta hiburan semata-mata.
Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat, Dr Balacandran Gopal Khrisnan berkata, sambutan Malam Munajat Terengganu membawa mesej mendalam bahawa pembangunan sesebuah negeri harus bermula daripada ketundukan hati, kesyukuran dan kesedaran bersama, bukan sekadar fizikal dan ekonomi semata-mata.
“Malam penuh penghayatan ini menyatukan hati masyarakat untuk bermuhasabah dan memperbaharui tekad menuju tahun baharu,” jelasnya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, tema sambutan, “Memperkukuh Perpaduan, Membina Masa Depan Bersama”, diterjemahkan dengan jelas melalui penyatuan seluruh lapisan masyarakat dalam suasana aman, tenang dan saling menghormati.


“Dalam kepelbagaian budaya, latar belakang dan pegangan, masyarakat disatukan oleh nilai bersama seperti keadilan, kasih sayang dan harapan untuk masa depan lebih sejahtera,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, seiring dengan perutusan Tahun Baharu 2026 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, jelas bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi amanah perlu dipelihara melalui dasar yang adil, pembangunan inklusif dan kepimpinan mendengar denyut nadi rakyat.
“Apabila nilai saling menghormati dan bekerjasama dijadikan asas, perbezaan tidak lagi menjadi jurang, sebaliknya kekuatan,” katanya.
Beliau menambah, sambutan ini mencerminkan pendekatan Terengganu membina negeri bukan hanya maju secara fizikal dan ekonomi, tetapi juga kukuh dari segi akhlak, sosial dan kemanusiaan, menjadikan setiap lafaz selawat dan munajat sebagai saksi tekad bersama untuk membina masa depan yang harmoni.






























