KUALA TERENGGANU — Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu menegaskan bahawa kesepaduan, kestabilan kepimpinan dan integriti Perikatan Nasional (PN) di bawah teraju PAS adalah penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Menurut ketuanya, Dr Wan Mat Sulaiman, sokongan penuh diberikan terhadap pendirian PAS Terengganu yang menyokong ketetapan PAS Pusat berhubung kesediaan memimpin PN dengan kepimpinan yang lebih stabil dan tersusun.
Katanya, ketetapan PAS Pusat itu dilihat tepat pada masanya dan wajar disokong oleh semua parti komponen PN demi menjamin kestabilan gabungan, khususnya selepas tercetusnya kecelaruan isu politik di Perlis yang memberi kesan kepada persepsi rakyat.
“PAS dilihat lebih tegas, berintegriti dan berpegang kepada prinsip setiakawan dalam semangat pemuafakatan, sekali gus meletakkan asas kukuh untuk PN tampil sebagai gabungan yang diyakini rakyat,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, di peringkat negeri, Dewan Ulamak PAS Terengganu berpandangan bahawa PAS Terengganu berada dalam keadaan cukup bersedia untuk memimpin PN dengan kekuatan jentera dan kepimpinan sedia ada, meskipun berdepan tekanan hebat daripada Kerajaan Persekutuan, termasuk isu sekatan hak royalti minyak kepada negeri.
“Kesepaduan antara PAS Pusat dan PAS negeri dalam isu ini amat penting bagi memastikan peranan PAS dalam menerajui PN dapat dilaksanakan dengan baik dan lebih berkesan, bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap PN.
“PN perlu dilihat lebih berintegriti, berperinsip, kuat menjunjung semangat setiakawan dan sentiasa berusaha untuk pembangunan negeri dan rakyat serta tidak terlalu berpolitik yang boleh menghakis kepercayaan rakyat,” ujar beliau.
Justeru itu, beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pengalaman dan rekod kejayaan PAS mentadbir negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, selain kekuatan sebagai parti dengan jumlah Ahli Parlimen teramai, membuktikan keupayaan PAS untuk memimpin PN secara berkesan dalam menghadapi PRU-16.





























