Setelah meneliti dan membuat pertimbangan terhadap situasi semasa berkait kerajaan Negeri Perlis dan Parti Perikatan Nasional (PN), adalah dimaklumkan bahawa PAS Pusat telah mengambil ketetapan-ketetapan berikut:
1. Kedudukan Kerajaan Negeri Perlis
PAS komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan PAS dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU-15, namun pada masa sama PAS tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu; dan semua anggota EXCO sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan Menteri Besar yang lepas.
2. Pengukuhan Perikatan Nasional (PN)
PAS menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap Perikatan Nasional. PAS juga dengan ini menawarkan kesediaannya untuk menerajui Perikatan Nasional bagi tujuan memperkasakan organisasi dan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) ke16.
Dalam pada itu, PAS juga menegaskan komitmen untuk kekal selamanya menghormati lunas-lunas undang-undang, prinsip-prinsip demokrasi, konsep Raja berperlembagaan serta kebijaksanaan DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat.
Terima kasih.
TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 09 Rejab 1447H / 30 Disember 2025


























