Rasuah Dan Wayang Perdana Meteri

31
Ahmad Fadhli Shaari

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ada kekeliruan di negara kita sekarang ini penyamun atau perasuah pun dianggap whistleblower dan dijadikan “hero”. Menurutnya “kalau seorang itu curi 1 bilion ringgit, dia kata akan bekerjasama dengan SPRM untuk mendapatkan balik 100 ringgit itu bukan whistleblower, itu penyamun tegar”. Justeru itu, beliau berkata pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dibentang di Dewan Rakyat tahun depan.

Baguslah tu, saya sangat setuju dengan usaha pindaan akta walaupun saya kurang yakin ia bakal dilaksanakan. Namun berhubung isu whistleblower itu, siapakah yang dimaksudkan oleh beliau? Jelasnya ia ditujukan kepada individu bernama Albert Tei. Lalu timbul pula persoalan adakah Albert Tei merupakan penyamun tegar yang mencuri sejumlah wang dan cuba berselindung di sebalik undang-undang berkenaan selaras dengan hujahan daripada Anwar Ibrahim?

Saya tidak menyebelahi Albert Tei, tetapi kita juga wajib berlaku adil. Adakah Perdana Menteri sedang mendahului keadilan di mahkamah apabila menggambarkan Albert Tei telah mencuri wang atau memperoleh sebarang keuntungan atau manfaat yang dapat mengesahkan kesalahannya? Jika begitu, bolehkah kita juga katakan bahawa bekas Setiausaha Politiknya sebagai ‘penerima rasauah tegar’ sedangkan dia baru sahaja didakwa di mahkamah?
Bolehkah Perdana Menteri dipanggil ke mahkamah dan menunjukkan bukti yang selari dengan hujahannya? Jika gagal, tidak tahulah mukanya nak letak kat mana? Satu perkara yang sangat memalukan.

Mengikut rekod, Albert Tei selaku pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah Sabah pada awal bulan November tahun lalu dan peguamnya pernah mengutus surat kepada Perdana Menteri ketika itu. Malangnya Perdana Menteri telah menolak permohonan perlindungan kepadanya dalam masa yang singkat walaupun tanpa sebarang siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa.
Kita sekarang baru faham mengapa Perdana Menteri sengaja mengabaikan aduan Albert Tei ketika itu kerana beliau sendiri turut terlibat. Saya ingin menegaskan bahawa sehingga hari ini, Anwar Ibrahim tidak pernah menafikan penglibatannya menurut dakwaan di dalam video Sofia Rini Buyong yang tular di media sosial. Tanpa penafian secara rasmi daripada Anwar Ibrahim, bermakna apa yang dikatakan oleh Sofia Rini Buyong adalah benar.

Jika Anwar Ibrahim menuduh Albert Tei adalah penyamun tegar, saya ingin menuntut penjelasan daripada beliau bagaimana dengan tindakannya melindungi dan bekerjasama serta memuji sekelompok rakan sekutunya daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terlibat menerima rasuah. Adakah Anwar Ibrahim menganggap penerima rasuah lebih mulia dan suci daripada pemberi rasuah?

Sekiranya Anwar Ibrahim menuduh kedudukan Albert Tei merupakan penyamun tegar, bagaimana dengan perbuatannya menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk melindungi rakan sekutunya yang menerima rasuah. Apa perbezaan antara Anwar Ibrahim dengan Albert Tei? Adakah mereka berdua sama-sama merupakan penjenayah tegar?

Menurut apa yang dikatakan oleh Anwar Ibrahim bahawa ada kekeliruan di negara kita sekarang ini penyamun atau perasuah pun dianggap whistleblower dan dijadikan “hero”. Saya setuju dengan kenyataannya, memang betul terdapat kekeliruan besar di negara kita ketika ini tetapi kekeliruan yang tercetus adalah akibat daripada perbuatannya sendiri. Anwar Ibrahim cuba mengelirukan masyarakat dengan ancaman moral serta memutarbelitkan fakta untuk menjatuhkan kredibiliti Albert Tei sebelum perbicaraan yang adil supaya beliau dapat menyelamatkan dirinya sendiri.

Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Penerangan PAS
19 DIsember 2025