MARANG – Dengan tema “PAS Marang Pilihanku”, PAS Kawasan Marang melancarkan Kempen Keahlian Baharu PAS sebagai usaha memperkukuh saf perjuangan Islam dan mengajak masyarakat menyertai jamaah yang berpaksikan al-Quran dan Sunnah.
Majlis gilang-gemilang itu dirasmikan oleh YB Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Setiausaha PAS Negeri Terengganu merangkap ADUN Wakaf Mempelam, yang berlangsung di Dewan Tuan Guru Haji Harun Taib, Rusila pada Jumaat 31 Oktober.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa PAS Marang kekal istiqamah memimpin rakyat ke arah hala tuju Islam, selagi parti terus berpaut kepada dasar perjuangan yang dibina atas prinsip syariah.
“Kekuatan PAS adalah pada akarnya, Islam. Selagi kita setia pada dasar, insya-Allah PAS terus kukuh walau ditekan dari segenap penjuru,” ujar beliau.
Tambahnya, kempen ini bukan sekadar mengumpul bilangan ahli, tetapi menghidupkan semangat perjuangan Islam di peringkat akar umbi.
“Kita mahu lebih ramai yang faham, sedar dan sedia memikul tanggungjawab sebagai ahli dalam gerakan dakwah dan politik Islam,” katanya lagi.
Majlis turut dihadiri pimpinan PAS Kawasan, wakil Dewan Pemuda, Muslimat serta cawangan-cawangan dari seluruh DUN dalam kawasan Marang.





























