Hikayat TIA, 1MDB Dan REE, Hasil Bumi Terengganu

84

Tanggal 12 Mei 2015, aku berada dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi membuat laporan berita berkenaan perbahasan Adun-Adun dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang mana ketika itu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, baharu sahaja setahun menduduki kerusi MB Terengganu, selepas diambil dari Dato’ Seri Ahmad Said.

Setelah sekian lama DS Ahmad mendiamkan diri setelah peristiwa beliau dimalukan kerana dipaksa turun dari singgahsana MB Terengganu, aku menyaksikan pada persidangan itu, beliau memilih untuk memegang watak si Jebat, mengamuk sambil melembang rahsia yang beliau ada berkenaan wang Kerajaan Negeri yang telah digunakan pihak lain.

Sekonyong-konyongnya, muncullah perkataan Terengganu Investment Authority (TIA) yang mana menurut beliau, TIA kemudiannya ditukar menjadi 1MBD. TIA atau 1MDB ini lagi katanya, bukan agensi yang modal berbayar, malah Kerajaan Terengganulah yang membayar modalnya sebanyak RM1 juta.

Lebih memanaskan lagi Adun BN di dewan yang dilengkapi penghawa dingin itu ialah dakwaan DS Ahmad bahawa 1MDB cuba mencagar hasil minyak dan gas Terengganu. Namun menurut DS Ahmad, beliau mengesan ‘hanky panky’ yang berlaku dalam pengurusan 1MDB dan menyebabkan Kerajaan Negeri menarik diri. Akibatnya beliau dimarahi oleh PM ketika itu, DS Najib Razak.

Kisah ini ditegaskan oleh DS Ahmad bermula pada tahun 2008 lagi, iaitu tahun pertama beliau menjadi MB setelah DS Idris Jusoh tidak diterima menjadi MB. Begitulah yang berlaku di Terengganu, semenjak BN mengambil alih semula pentadbiran, berbilion duit rakyat dibazirkan sebagaimana laporan-laporan yang dibuat oleh PAS dalam usaha menyedarkan rakyat.

Manakala 1MDB kemudiannya menjadi racun berbisa kepada pentadbiran DS Najib. Isu ini digunakan sepenuhnya oleh PH dalam kempen mereka sebelum PRU-14. PAS yang ketika itu telah berpisah dengan PKR, DAP dan tidak bersama Bersatu, telah cuba ditolak PH untuk dimangsakan bersama BN. Contohnya klasik yang masih dingati ialah PAS terima wang RM90 juta dari Umno. Namun, Latheefa Koya, orang PKR sendiri yang menjadi Pesuruhjaya SPRM, mengesahkan PAS tidak menerima wang itu.

Dengan kempen fitnah dan jahat, penuh penipuan dengan memberikan janji-janji yang menakjubkan, PH akhirnya menang dengan sokongan terkuat dari isu 1MDB. DS Najib dan isteri ditahan dan disoal siasat, kemudiannya dibicarakan. Bukan hanya mereka berdua, terdapat ramai lagi yang turut terheret sama dalam apa yang dipanggil sebagai skandal salah guna kuasa terbesar di Malaysia.

PH tersenyum puas, konon mereka telah mengangkat semula sistem keadilan di Malaysia yang dikatakan hilang dahulu. DS Najib dipenjara, sehinggakan perintah adendum yang diberikan YDPA tidak diketahui bagaimana ia hilang. Menunjukkan kesungguhan satu pihak untuk mengekalkan DS Najib dalam penjara. Begitulah penangan 1MDB.

Kini, kehadiran Trump beberapa hari lalu telah membawa bakulnya yang besar untuk diisi oleh Malaysia dan dibawanya pulang. Antara hadiah yang diberikan ialah REE. Manakala REE itu pula diketahui banyak terdapat simpanannya di negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah. Akta perlombongan REE belum jelas sepenuhnya lagi. Tetapi kelihatannya REE di tengah hutan di Terengganu seperti sudah digadai. Saling tak tumpah sebagai cagaran minyak dan gas di laut Terengganu dahulu dalam kes 1MDB dahulu.

Adakah sebodoh itu rakyat Terengganu akan membiarkan hasil bumi mereka dilelong dan digadai lagi kepada orang luar? Apakah maknanya kita menjadi sebahagian dari Persekutuan Tanah Melayu, tetapi hak kita diinjak-injak, bukan sekali malahan berkali-kali?

Saya tidak mahu bertanya kepada penyokong PH dan BN yang sudah pastinya sangat gembira dan penuh dalil bersetuju hasil negeri mereka digadai, kerana mereka sudah kehilangan maruah, sanggup melampiaskan dendam mereka walau harta negeri tergadai, asalkan hati mereka puas melihat Kerajaan Negeri pimpinan PAS merana. Itu memang sikap mereka.

Tetapi kepada rakyat Terengganu yang bermaruah yang cintakan tanah tempat mereka dilahirkan, fikirkanlah. Lihatlah dan renungkanlah. Mereka menyumpah seranah DS Najib sebagai penjenayah 1MDB, tetapi kini, kita bimbang, sejarah hasil bumi kita akan dicagar sepertinya akan berulang.

Hikayat dahulu kita sedia maklum berlaku kerana PM dan MB dari parti yang sama dan mempunyai rekod buruk yang sangat panjang senarainya. Tetapi kali ini, pusat dan negeri berlainan parti. Insyaallah kita akan bangkit mempertahankan maruah negeri dan rakyat Terengganu.

Mohd Nasir Abdullah
29 Oktober 2025
https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=10238593356754717&id=1295779460#

Berita berkaitan;
Perjanjian Malaysia-AS : Anwar Gadai, Cabul Hak REE Terengganu