Pilihan Raya Adalah Medan Menegakkan Kuasa Islam

124

Oleh : Amirul Mohd

MARANG – Umat Islam diingatkan agar tidak memisahkan politik daripada agama, kerana pilihan raya adalah satu medan penting untuk menegakkan kuasa Islam di negara ini.

Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, Nabi Muhammad SAW sendiri menangguhkan ibadah haji walaupun ia telah difardukan, kerana ketika itu Makkah masih berada di bawah kuasa musyrikin.

“Baginda mendahulukan pembukaan Makkah supaya Islam memiliki kuasa pemerintahan. Hanya selepas Makkah ditadbir dengan hukum Allah, barulah Nabi menunaikan haji. Ini menunjukkan keutamaan kuasa Islam dalam membina tamadun,” tegas beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian sempena Majlis Perasmian Surau dan PASTI Annur di Kampung Baru Serada, semalam.

Menurutnya lagi, umat Islam hari ini wajib mengambil pengajaran daripada susunan dakwah Nabi iaitu membina kuasa politik terlebih dahulu sebagai asas sebelum menyempurnakan ibadah secara menyeluruh.

Sementara itu, beliau juga turut mengingatkan bahaya besar jika umat Islam lalai dalam urusan pilihan raya.

“Jika umat Islam tidak keluar mengundi, sedangkan bukan Islam keluar beramai-ramai, maka kuasa pemerintahan akan berpindah tangan.

“Ini bencana besar. Ia membawa bala dan laknat apabila tanggungjawab politik terhadap agama diabaikan,” katanya.

Tuan Guru turut menyeru para ulama agar memainkan peranan menyedarkan masyarakat tentang kefahaman politik Islam.

Menurut beliau, ramai yang hafal al-Quran tetapi tidak memahami kehendak Islam secara menyeluruh.

“Ilmu mesti dihidupkan dengan kefahaman, bukan sekadar hafalan. Ulama yang faham politik Islam ialah mereka yang benar-benar memikul beban dakwah,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan, dan sejarah telah menunjukkan bahawa Melayu itu terikat dengan Islam sebagai tonggak maruah bangsa.

Justeru itu, beliau berharap Surau Annur menjadi pusat ilmu dan kesedaran umat, seperti fungsi masjid di zaman Rasulullah SAW di Madinah.

“Surau bukan sekadar tempat solat, tetapi medan ilmu, kefahaman politik dan penyatuan umat.

“Menegakkan pemerintahan Islam dan keluar mengundi ialah tanggungjawab orang beriman,” tambah beliau.