Akibat Bersahabatkan Syaitan

84

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ١

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu menumpahkan kasih kepada mereka, padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu! Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredaan-Ku (janganlah kamu berbuat demikian). Kamu sembunyikan kepada mereka rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Dan sesiapa antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.” [Surah al-Mumtahanah: 1]

Sebab diwahyukan ayat ini berkait dengan seorang sahabat terhormat daripada kalangan Ahli Badar bernama Hatib bin Abi Balta‘ah RA yang menulis surat kepada kalangan pemimpin jahiliah Makkah dengan alasan untuk menyelamatkan keluarganya yang masih tinggal di Makkah. Maka, Allah melarangnya kerana tindakan itu membawa akibat yang buruk kepada Islam dan umatnya.

Hal ini demikian kerana, ternyata pemimpin itu terlibat dengan kezaliman terhadap Rasulullah SAW dan penganut Islam sewaktu di Makkah. Mereka memaksa dan menyeksa kalangan orang Islam yang lemah sehingga ada sebahagiannya yang terpaksa berhijrah atau diseksa kerana tidak mampu menyelamatkan diri dengan hijrah.

Al-Quran ialah petunjuk yang berkekalan sepanjang zaman. Di dalamnya, terkandung banyak kisah dahulu kala yang disebut secara berulang kali agar menjadi iktibar kepada penganut Islam supaya mereka berwaspada.

Apabila negara kita mengundang Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi meramaikan kawan dan sahabat. Seorang yang nyata terlibat bersekongkol bersama Israel melakukan kekejaman yang paling melampau terhadap saudara kita di Palestin, khususnya di Gaza.

Bahkan, sudah puluhan ribu kanak-kanak menjadi korban keganasannya, apatah lebih besar lagi angkanya kalau dicampurkan dengan kaum wanita, warga tua, dan pesakit yang berada di hospital. Pada masa yang sama, Israel juga telah memusnahkan rumah kediaman, khemah pelarian, dan rumah ibadat, sehingga turut membunuh petugas bantuan kemanusiaan.

Jenayahnya telah disabitkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). Namun begitu, Amerika Syarikat bukan sahaja menggunakan kuasa veto untuk membatalkan semua keputusan tersebut, bahkan turut membantu dengan segala jenis senjata dan bantuan ketenteraan secara langsung kepada Israel dengan arahan yang nyata oleh presidennya, Donald Trump.

Donald Trump juga menjadi syaitan besar yang menggoda masyarakat dunia, menjadi pendamai yang zalim apabila meletakkan syarat supaya kumpulan rakyat Palestin yang berjuang demi mempertahankan diri dan tanah air dilucutkan senjatanya.

Adapun Israel pula tidak diarahkan melakukannya, sebaliknya Amerika Syarikat terus menjadi pembekalnya dengan bertali arus, termasuklah membekalkan senjata yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa kerana kesan kemusnahannya yang dahsyat. Kini, ia digunakan untuk menghancurkan Gaza.

Donald Trump juga turut menggoda rakyat Palestin dengan bantuan kewangan yang paling besar jumlahnya supaya menerima penyelesaian dua negara (two-state solution). Ataupun, mereka dipaksa berpindah dengan meninggalkan Palestin dan menyerah kepada Israel dalam keadaan Israel terus merampas kawasan yang masih menjadi tempat rakyat Palestin yang terpaksa berlindung. Namun, semua tawaran itu ditolak oleh rakyat Palestin yang tinggi maruahnya.

Selaku syaitan besar, Trump juga menggoda pemimpin negara Islam dan Arab supaya menyembahnya. Firman Allah SWT:

۞أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٦٠ وَأَنِ ٱعۡبُدُونِيۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ ٦١

“Bukankah Aku telah memerintahkan kepada kamu wahai Bani Adam, supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya, syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. (60) Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. (61)” [Surah Yasin: 60-61]

Maka, alasan menjemput Trump datang menyertai Sidang Kemuncak ASEAN kerana ingin meramaikan kawan sedangkan Malaysia tegas dengan pendirian membela Palestin, adalah sangat rapuh dan tidak boleh diterima oleh akal yang sihat. Tambahan pula, hal ini berlaku dalam keadaan negara-negara di seluruh dunia, termasuklah negara bukan Islam, malah rakyat Amerika Syarikat sendiri, mula memulaukan Israel yang nyata keganasannya dengan sokongan Trump.

Rasulullah SAW menasihati umatnya supaya berhati-hati memilih kawan dengan sabdanya:

إِنَّما مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ، والْجَلِيسِ السَّوْءِ، كَحَامِلِ المِسْكِ، ‌وَنَافِخِ الكِيرِ، فَحَامِلُ الْمِسْكِ: إمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وإمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَنَافِخُ الكِيرِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً.

“Sesungguhnya, perbandingan orang yang bersama orang yang soleh dan bersama orang yang jahat, laksana mendekati pembawa bauan harum (kasturi) dan tukang besi. Jika bersama pembawa bauan harum, nescaya disapu bauannya yang harum kepadamu atau kamu membelinya atau kamu dapat mencium baunya yang harum. Adapun tukang besi, sama ada terkena percikan bara apinya yang membakar pakaianmu atau mencium bau yang busuk.” [Muttafaq ‘Alayh: Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zaba’ih wa al-Said, no. 2101 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no. 2628, daripada Abu Musa al-Asy‘ari]

Firman Allah SWT:

وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan.” [Surah Hud: 113]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 7 Rabi‘ al-Akhir 1447 / 29 September 2025

[Bil: 66 / 2025]