Ameerah Tekankan Politik Matang, Santuni Anak Muda di Pentas Digital

117

KUALA TERENGGANU – Ameerah Terengganu menegaskan bahawa Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) perlu menjadi asas dalam mendekati generasi muda, dengan menekankan politik solusi, mengutamakan rakyat, dan berpaksikan damai serta diplomasi.

Menurut Ustazah Sumaiyah Zakaria, penampilan tokoh politik berkaliber, berintegriti dan berwibawa amat penting, bukan sekadar bergantung kepada populariti semata-mata.

“Anak muda, khususnya generasi Z, banyak membina fikrah dan persepsi melalui media sosial.

“Justeru, PAS perlu memaksimumkan medium digital ini untuk menembusi tembok serta menyelami pemikiran mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumaiyah turut menekankan perlunya program yang bersifat inklusif, santai, menyeluruh dan berkesan, bukannya program bersifat ‘touch and go’.

Beliau menambah, terdapat tiga isu paling penting dalam mendekati anak muda iaitu pendedahan serta kempen kesedaran politik sebenar, penonjolan tokoh muda sebagai bukti kejayaan tarbiah politik Islam, dan penyediaan pentas suara anak muda melalui medium seperti podcast serta forum isu semasa.

“Realitinya, anak muda hari ini sudah celik politik dan bijak membuat pilihan, terbukti dengan penyertaan aktif mereka dalam parti politik. Namun, masih ada sebahagian yang jauh daripada politik kerana kurang pendedahan dan kefahaman,” jelasnya.

Tambah beliau, PAS komited mengajak seluruh rakyat memahami politik Islam yang sebenar, berupaya memimpin negara dengan adil serta menjadi harapan rakyat dalam mengurus tadbir negara.