KUALA TERENGGANU – PAS kini bersedia untuk memimpin negara selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan mengetengahkan penyelesaian berteraskan keadilan Islam sebagai jalan keluar kepada masalah yang sedang menghimpit rakyat.
Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Prof Madya Dr Haji Wan Mat Sulaiman menegaskan, ucapan Dasar Presiden PAS telah berjaya menyuntik semangat baharu untuk mengatur langkah lebih berdisiplin serta mantap dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“Memberi semangat baharu kepada perwakilan untuk bersedia memimpin negara selepas PRU16,
“Dengan yakin bahawa keadilan Islam mampu menyelesaikan masalah akibat kegagalan kerajaan Madani pimpinan PH,” jelasnya ketika dihubungi.
Menurutnya, ia menekankan beberapa strategi penting termasuk memperkukuh organisasi, meningkatkan ilmu dan disiplin, memperkasa jati diri, serta mengukuhkan ukhuwah dan kesatuan fikrah dalam kalangan ahli.
“PAS sebagai kerajaan menunggu mengambil pendekatan politik jujur dengan menumpukan usaha memenangi PRU16 terlebih dahulu.
“Sebelum memilih calon Perdana Menteri daripada tokoh berilmu, amanah, berintegriti serta berwibawa,” ujarnya.
Tambah beliau, muktamar kali ini turut memperlihatkan dinamika PAS dengan mengekalkan kepimpinan yang datang daripada pelbagai latar belakang seperti agamawan, profesional, aktivis, pensyarah, doktor serta pakar kewangan.
namun katanyqa, ia tetap dipandu oleh kebijaksanaan para ulamak.
“Kesimpulannya, muktamar kali ini menzahirkan kesediaan PAS memimpin negara berteraskan dasar Islam yang kukuh bagi membela rakyat daripada pemerintahan yang menekan,” tegasnya.