Zikir Al-Mathurat, Pohon Allah Angkat Covid-19

195

DUNGUN – Parti Islam SeMalaysia(PAS) Dungun mengambil tanggungjawab mengadakan bacaan zikir Al-Mathurat setiap pagi dengan memohon Allah Subhanahu Wa Ta’ala (SWT) mengangkat wabak Covid-19 dari bumi Terengganu khususnya.

Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS Dungun, Ustaz Jamaluddin Jusoh berkata pihaknya memilih zikir Mathurat adalah untuk mengambil contoh daripada Nabi dan sekaligus mendapat pahala menghidupkan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.

“Virus Corona adalah makhluk Allah, yang Allah jadikan untuk memberi ingatan kerana maksiat sedang subur di dalam masyarakat, jadi tidak dapat tidak untuk mengatasinya, kita kembali kepada pencipta-NYA,” ujarnya.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Terengganu itu mengingatkan demikian ketika menyampaikan tazkirah pendek sebelum dan selepas bacaan zikir yang diadakan menerusi aplikasi ‘Google Meet’ dan ‘Facebook’ pada setiap pagi bermula pada pukul 8.15 pagi.

Menurut beliau, menjadi tanggungjawab setiap individu, ahli jemaah dan masyarakat untuk menghimpunkan suara-suara orang yang beriman untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjinakkan hati-hati agar takut melakukan maksiat.

“Segalanya adalah di tangan Allah, Allah yang Maha Berkehendak, Allah yang Maha Mengetahui bila, kenapa dan bagaimana akan mengangkat ujian yang telah pun diturunkan ini.

” Tetapi biarlah kita yang melahirkan pengharapan kepada Allah Subhanahuwata’ala,” katanya lagi.