Alhamdulillah atas segalanya. Masih ingat lagi kes Tuan Haji Suwandi dan Sdr Azman yang dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah pada Jun tahun lepas dengan dipenjara 18 bulan atas tuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas? In shaa Allah mereka akan dibebaskan lebih awal iaitu pada hujung bulan ini melalui sistem parol!
(Parol bermaksud pelepasan seseorang banduan untuk menjalani mana-mana bahagian hukuman pemenjaraannya di luar penjara menurut sesuatu Perintah Parol kerana berkelakuan baik sepanjang dalam tahanan).
Alhamdulillah, petang tadi saya bersama YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim (Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Prihatin Rakyat, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)) bersama-sama isteri menziarahi Puan Faizah Mat Seman (isteri Tuan Haji Suwandi) dan keluarga di rumah mereka di Marang, Terengganu. Kami hadir menyampaikan sokongan motivasi dan menyampaikan sedikit sumbangan dari DPPM.
Seronok kami dapat bertemu semula dengan Puan Faizah sekeluarga termasuk ayah Tuan Haji Suwandi dan anak-anak beliau, isteri saya akrab berhubung dengan beliau sebelum pertemuan hari ini.
Saya boleh katakan bahawa Puan Faizah dan anak-anak tabah dalam menghadapi ujian ini. Dan saya sangat cemburu dengan kesabaran Tuan Haji Suwandi dan Sdr Azman, marilah sama-sama kita memberi sokongan selepas pembebasan mereka dalam meneruskan perjuangan dan doakan kebaikan buat mereka.
Sila baca “Catatan Ramadhan 1436H: Saat Diuji Semangat Jihad Tetap Membara” di bawah yang saya tulis 9 bulan lepas selepas menziarahi keluarga tersebut saat Tuan Haji Suwandi dan Sdr Azman baru sahaja dijatuhkan hukuman penjara.
Semoga Allah merahmati kita semua dan mempermudahkan urusan kehidupan kita. Bersama membina Malaysia Sejahtera dan Selamatkan Malaysia dengan Islam.
Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan!
Yang Mencintai Keadilan,
Muhtar Suhaili As-Sarawaki
*****************
“Catatan Ramadhan 1436H: Saat Diuji Semangat Jihad Tetap Membara”
Oleh: Mukhtar Suhaili As-Sarawaki
2 Ramadhan 1436H / 19 Jun 2015
1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Hidup ini adalah perjuangan dan pengorbanan. Allah jadikan kematian dan kehidupan untuk melihat siapa dalam kalangan kita yang terbaik amalannya.
2. Saya, isteri dan Sdr Nurul Islam (PSU 1 DPPM) baru sahaja balik dari menziarahi Puan Faizah (isteri kepada Tuan Haji Suwandi yang kini dipenjara 18 bulan bersama Sdr Azman atas tuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas).
3. Tuan Hj Suwandi dan Sdr Azman merupakan antara mangsa keganasan polis yang berlaku di Batu Burok pada 8 September 2007. Tragedi berdarah di Batu Burok ini adalah berikutan tembakan peluru hidup daripada pihak polis untuk meleraikan perhimpunan orang awam. Hj Suwandi dan Sdr Azman adalah di antara mangsa yang terkena tembakan peluru hidup oleh pihak polis.
4. Puan Faizah adalah wanita yang sangat tabah dan saya mencemburui semangat beliau dan anak-anak dalam menghadapi ujian. Mereka mempunyai 9 orang anak (4 lelaki dan 5 perempuan). Yang sulung berumur 21 tahun sedang menyambung pengajian di Jordan (menangguhkan sementara pengajian untuk bersama keluarga), anak kedua sedang belajar di China, anak ketiga akan menyambung pengajian di KUIS, beberapa orang anak belajar di Madrasah/ Sekolah Tahfiz manakala anak bongsu baru berusia 4 bulan.
5. Puan Faizah bermesra dengan isteri saya dan kami bercerita serba sedikit tentang kes tersebut dan juga apa yang boleh dibantu. Beliau seorang yang sangat baik dan dapat dirasakan kekentalan jiwa beliau. Dari tutur-bicara dan lembut bahasanya, hati kecil saya terdetik dan meyakini beliau seorang isteri solehah dan ibu mithali.
6. Kata-kata Puan Faizah: “Akak fikir satu jer, hidup kita ni kalau tak berjuang dan berjihad tiada maknanya. In shaa Allah ada hikmah atas apa yang berlaku.” Sungguh ini motivasi perjuangan yang sangat tinggi nilainya. Allahu Akbar!
7. Air mata Puan Faizah hanya menitis apabila bercakap berkenaan keluarga Sdr Azman. Katanya keluarga Sdr Azman lebih susah dan minta kita bagi tumpuan dan bantuan lebih buat keluarga Sdr Azman. Di kala beliau susah dan diuji, beliau masih mengutamakan orang lain! Inilah itshar namanya dan tanda keimanan.
8. Mata kami berkaca-kaca, cuba menahan airmata dari tumpah. Selepas mengucapkan terima kasih dan mendoakan yang terbaik buat Puan Faizah sekeluarga, kami beransur pulang. Masuk sahaja ke dalam kereta, isteri saya terus menangis teresak-esak, mengeluarkan airmata yang ditahan sejak tadi. Terharu dengan semangat jihad yang membara saat diuji!
9. Semoga keluarga kedua pejuang ini akan terus istiqamah di dalam memperjuangkan Islam di bumi Malaysia. In shaa Allah.
10. Dalam Sahih Muslim, dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ, وَلَمْ يُحَدِّثْ نَفْسَهُ بِهِ, مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ
“Barangsiapa meninggal dunia sementara dia belum pernah berperang (berjihad) atau meniatkan diri untuk berperang (berjihad), maka dia mati di atas satu cabang dari kemunafikan.”
11. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menjadikan keduanya keluarga angkat kita sepanjang penahanan Tuan Hj Suwandi dan Sdr Azman in shaa Allah.
12. HULURKAN KEPRIHATINAN anda dengan menyumbang kepada keluarga Tuan Haji Suwandi dan Saudara Azman melalui akaun MAYBANK berikut:
TABUNG RAKYAT PRIHATIN
564025400414
Maklumkan jumlah sumbangan penderma budiman sekalian kepada Sdr Mukhtar Suhaili (Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia) di talian +60162339117.
#DewanPemudaPASMalaysiaPrihatin
#KalauBukanKitaSiapa?
#LawanKebatilanDanKezaliman
#MempersiapGenerasiKemenangan
#BeristiqamahHinggaKemenangan!










