Yakin Pengundi Muda Pilih PAS

2453

Oleh KAM

MARANG – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menaruh keyakinan kepada 30 peratus pengundi muda yang menjadi penentu akan memilih PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini.

Katanya, hasil lawatan beliau ke negeri-negeri seluruh negara sokongan orang muda kepada parti itu sentiasa meningkat.

Menurutnya, PAS tidak bergantung kepada prestasi keputusan parti itu pada PRU13 lalu yang banyak berubah sekarang.

“Kita (PAS) tidak bergantung kepada keputusan pilihan raya yang ke-13. Kita bergantung kepada gerak kerja parti yang terkini dan tidak mustahil kita boleh mempengaruhi pengundi-pengundi muda.

“Mengikut statistik dalam lawatan saya di seluruh kawasan (pilihan raya), tidak kurang dari 30 peratus pengundi muda yang menjadi undi penentu pada PRU14 ini,” jelas beliau dalam satu sidang media di kediamannya Kampung Rusila, selepas solat Jumaat, 6 April.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang beberapa penggal lalu turut menyakinkan rakyat tentang pengalaman parti itu pernah memerintah Terengganu sebanyak dua kali sebelum ini.

“Insya’Allah, kerana kita (PAS) pernah menang tahun 1999 dan kita pernah menang tahun 1969. Jika pilihan raya diadakan secara yang telus, ‘padang’ yang sama rata kita yakin (menang).

“Tetapi, kita kena sedar bahawa pilihan raya di tempat kita ini masih ada lagi kelemahan-kelemahan termasuk dalam isu persempadanan pilihan raya. Beberapa Dun (Dewan Undangan Negeri) yang kita mempunyai peti undi yang kita menang ‘dibuang’ dan dimasukkan ke peti undi lain,” jelasnya.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pada sebelah paginya, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan pembubaran Parlimen Malaysia yang berkuatkuasa pada 7 April 2018, setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad ke-V.