Wajib Ajar Anak Solat

119

MARANG – Menjadi kewajipan ibubapa mengajar dan menyuruh anak-anak mereka untuk mengerjakan solat pada usia tujuh tahun.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata jika tidak mereka akan menanggung dosa dalam tempoh tersebut.

“Dalam masa yang sama ibu bapa wajib mendirikannya sebagai contoh teladan yang baik kepada anak-anak,

“kerana pendidikan perbuatan adalah lebih berkesan berbanding dengan pendidikan melalui lisan,” ujarnya.

Bendahari PAS Kuala Terengganu, itu berkata demikian ketika menyampaikan khutbah di Masjid Baru Pengkalan Berangan semalam.


Menurutnya, solat lima waktu yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim merupakan solat yang betul dan sempurna sahaja.

“Kerana solat yang betul dan sempurna sahaja yang akan mendidik peribadi mulia,

” Antara peribadi mulia kesan daripada solat pertama menjaga kebersihan dan keindahan, memantapkan aqidah dan keimanan , mengingati Allah, memberi ketenangan kepada jiwa, menjauhi kemungkaran, mengeratkan hubungan dalam masyarakat dan mematuhi masa.

“Sebagai umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kita hendaklah menunaikan solat dengan sebaik-baiknya,” jelasnya lagi.