Wajah Ceria Kaum Tionghua Sambut Rombongan PAS

163

KEMAMAN – Terpancar raut wajah ceria warga Tionghua Kampung Air Jernih, apabila menerima kunjungan, menyambut kedatangan rombongan, mesra menunggu di pintu-pintu rumah mereka.

Yang Dipertua PAS, Ustaz Alias Ab. Hamid berkata, kepelbagaian agama, kaum dan budaya masyarakat di Malaysia merupakan satu keistimewaan di negara ini, terutama pada sambutan hari kebesaran.

“Bertandang sebagai tanda ingatan dan kami juga menyampaikan sumbangan limau mandarin dan barangan dapur sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut pada hujung minggu hadapan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kemaman itu menitipkan khabar gembira tersebut melalui tulisan pada laman sosialnya pada Ahad, 7 Februari.

Turut sama ialah ADUN Kemasik YB Ir Saiful Azmi Suhaili, Pemuda dan Ameerah serta petugas daripada Pusat Khidmat DUN Kemasik.

Ustaz Alias dalam rangka ‘pusing keliling’ program sempena ‘Tahun Kerbau Gong Xi Fa Cai’ dalam suasana PKP ekoran peningkatan kes pandemik Covid-19.

“InsyaAllah pada dua hari seterusnya selepas ini, kita akan menyempurnakan agihan kepada masyarakat Cina di DUN Cukai, Air Putih dan Kijal,

“Dan setelah itu, kita akan mulakan agihan sumbangan kepada para tukang gunting rambut, hasil daripada himpunan maklumat yang telah kita dapatkan sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, perkampungan Cina Air Jernih itu juga adalah penempatan terbesar suku Hainan di Malaysia yang telah wujud lebih 100 tahun yang lalu.

“Jika berkesempatan datang ke sini, kita akan dapat lihat seni bina rumah-rumah lama masih lagi kekal.

“Marilah kita kekalkan keharmonian dan kesejahteraan secara bersama,” seru beliau.