Usaha Gigih Ukir Kejayaan Anak Dungun Rangkul Perak

514

DUNGUN – Kejayaan anak Dungun, Zulfikri Zulkifli merangkul pingat perak dalam acara Cross Country Lelaki Berbasikal Bukit merupakan hasil usaha gigih, disiplin tinggi serta komitmen berterusan yang ditunjukkan.

Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli yang merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah diatas kejayaan cemerlang atlet yang lebih mesra dengan panggilan ‘Teney’ itu.

“Semoga kejayaan dan pengalaman berharga ini menjadi pemangkin semangat untuk terus melangkah lebih jauh, mengharumkan nama negara dan mengangkat sukan berbasikal tanah air ke peringkat yang lebih tinggi, ” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Dungun berkata demikian di majlis meraikan kepulangan atlet basikal MTB & Downhill Sukan SEA Thailand 2025 yang diadakan di Ausemist Coffee Cafe, Tanah Lot, di sini pada 18 Disember.

Dalam majlis itu juga turut diraikan empat orang lagi atlet berbasikal yang telah berjaya mewakili Malaysia di pentas Sukan SEA iaitu Nur Eddyna Nasuhar Zainal Abidin, Ahmad Syazrin Awang Ilah, Saniy Syuaib Mohd Safiee dan Amer Akbar Anuar.

Ustaz Wan Hassan berkata walaupun tidak berjaya membawa pulang pingat, keberanian, pengorbanan serta perjalanan panjang selama hampir sedekad dalam mengejar impian untuk beraksi di sukan yang berprestij itu bukanlah sesuatu yang mudah.

“Namun begitu, komitmen, disiplin dan ketabahan yang ditunjukkan menjadi sumber inspirasi serta contoh teladan kepada generasi atlet akan datang,

“Jutaan terima kasih juga kepada barisan jurulatih serta pihak pengurusan Persatuan Lumba Basikal Dungun yang telah banyak memberikan bimbingan, sokongan dan pendidikan kepada para atlet sehingga berjaya melangkah ke peringkat Sukan SEA,” ujarnya lagi.