Usah Tangguh Lagi, Segerakan Pembayaran Royalti

77

Jawapan Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkaitan isu persoalan bayaran penuh Royalti Petroleum atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada Negeri Terengganu telah mengecewakan seluruh rakyat di Negeri Terengganu.

2. Pengulangan jawapan yang sama, iaitu “Kerajaan sedia berbincang” menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kewangan masih berdolak-dalik dalam isu ini dan terus mahu menyekat hak rakyat tersebut.

3. Apakah ukuran perbincangan yang dimahukan oleh Kerajaan Persekutuan memandangkan sudah berbelas kali perbincangan dilakukan antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan Kerajaan Persekutuan sepanjang tahun 2023 bagi membincangkan isu DKKP ini. Masih belum cukupkah Kerajaan Persekutuan menyukarkan proses ini?

4. Jiwa besar YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Bin Mokhtar yang bersetuju untuk meneruskan perbincangan menunjukkan pengamalan politik matang yang dibuat oleh kepimpinan Negeri Terengganu sepatutnya tidak dibuat ‘main tarik tali’ dan dianggap remeh oleh Kerajaan Persekutuan.

5. Mengikut YB Senator DS Amir Hamzah, hanya RM786 juta yang disalurkan untuk Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2023. Jumlah ini hanya separuh daripada jangkaan terimaan bagi tahun lepas iaitu sebanyak RM1.5 bilion, ertinya separuh (lebih kurang RM700 juta) lagi masih belum dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan.

6. Bukan sekadar itu, tahun 2024 sudah pun memasuki pertengahan bulan Mac, yang sepatutnya diberikan pembayaran pertama royalti untuk tahun ini dengan jangkaan sebanyak RM700 juta daripada keseluruhan jangkaan pembayaran petroleum bagi tahun 2024 (RM1.5 bilion).

7. Justeru, PAS Terengganu mendesak agar Kerajaan Persekutuan berhenti berpolitiking dalam isu ini agar hak seluruh 1.2 juta rakyat negeri ini ditunaikan oleh PMX seiring dengan rukun Ihsan dan Hormat di dalam Rukun Malaysia MADANI.

YB Ustaz Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu
ADUN Batu Buruk
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu