Umno Sudah Tidak Relevan, Tidak Boleh Dipercaya, Kotor Dan Sudah Tiada Nilai

99

Oleh : Ahmad Fahmi Mokhtar

Gambar diatas adalah jumlah Kerusi Dimenangi Barisan Nasional-Umno Dalam Tempoh 18 Tahun;

PRU-11 (2004) – 198 kerusi BN, 109 kerusi UMNO
PRU-12 (2008) – 140 kerusi BN, 79 kerusi UMNO
PRU-13 (2013) – 133 kerusi BN, 88 kerusi UMNO
PRU-14 (2018) -79 kerusi BN, 54 kerusi UMNO
PRU-15 (2022) – 30 kerusi BN, 26 kerusi UMNO

Data ini menunjukkan BN dan UMNO berada pada zaman kejatuhan dan kemerosotannya.

Selepas 61 tahun berkuasa, UMNO telah dihukum rakyat pada PRU-14 dan menjadi pembangkang buat kali pertama.

Dengan keputusan itu, hasrat Najib Razak untuk menjadikan UMNO terus berkuasa untuk seribu tahun lagi terpadam jauh lebih awal.
UMNO dibawah Zahid Hamidi sekali lagi dihukum dalam PRU-15 apabila mereka hanya memperoleh 26 kerusi sahaja. Terendah sepanjang 72 tahun penubuhannya.

Tindakan Zahid bertanding solo sebelum PRU15, ibarat melumpuhkan BN. Manakala, tindakan Zahid bersama PH selepas PRU15, seolah-olah telah mengebumikan BN hidup-hidup.

Kebenaran yang perlu diterima, UMNO sedang melalui era kejatuhan secara konsisten dalam tempoh 18 tahun ini (2004-2022).
Ramai ahli UMNO rindukan kegemilangan parti itu di era 70-an, 80-an dan 90-an. Tapi malang, sebahagian pemimpin UMNO memilih untuk berpaut pada ranting yang rapuh bernama DAP.

Berleluasanya sikap pemimpin dan pengikut mengipas dan menjilat telah menjadi barah tahap kritikal kepada UMNO.

Kepentingan individu telah berjaya menenggelamkan perjuangan, prinsip dan sejarah panjang UMNO.

Kini tiada lagi rasa gah dan kekuatan pada UMNO. Bendera dan simbol BN telah dibakar dengan penuh kecewa dan kesal akar umbi.

Asap bendera yang dibakar itu tidak mampu menutupi sikap sombong dan ego pemimpim dalam menyelimuti kelemahan-kelemahan parti.

Siri PRU jelas membuktikan, pada mata rakyat, UMNO sekarang tidak lagi relevan, kotor dan tidak boleh dipercaya. Sudah tiada nilai.