Umno Kitar Semula Isu, ‘Burukkan’ Diri Sendiri

221

BESUT – Isu Stadium Mini Kampung Raja yang rosak dekat sini, dikitar semula oleh Umno hanya membuka ‘pekung di dada’ mereka sendiri.

Setiausaha PAS Kawasan Besut Cikgu Shalahuddin Jaafar berkata, kemudahan sukan dan rekreasi tersebut telah lama rosak sejak zaman Umno jadi kerajaan lagi.

“Isu ini ditimbulkan oleh Umno dekat PRU15 baru-baru ini sebagai modal kempen pilihanraya.

“Sedangkan semua tahu astaka itu terbiar lama semasa Umno menjadi kerajaan lagi,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Daerah Besut (MDB) berkata, pada tahun 2021 pihak MDB telah mengambil langkah memulihkannya.

“MDB telah membaiki padang bola dengan menanam rumput baru dan membaiki trek tempat para belia berjoging,

“Sekarang ini MDB sedang berunding dengan Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) bagi menaik taraf padang astaka ini supaya mempunyai kemudahan yang lebih baik,” jelas beliau.

Namun begitu, menurut beliau, kos membaik pulih keseluruhan Kompleks tersebut amat tinggi.

“Tahun lepas pihak MDB dah serahkan kepada TFC untuk baiki, nak buat seperti (stadium) di Kuala Terengganu,

“tetapi kos agak tinggi, ‘mahal tali daripada beruk’, dah beberapa kali MDB dan TFC bincang perkara ini.” tegasnya.