Terengganu, Malaysia

Umno Kini Dalam Blok Pembangkang

Umno Kini Dalam Blok Pembangkang

KUALA NERUS – Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan menjelaskan, Umno yang kini berada dalam blok pembangkang, menyatakan kesediaan menghadiri jemputan ke Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64.

Oleh itu, beliau berkata, persetujuan Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi untu datang ke Muktamar yang akan diadakan di negeri ini adalah perkara biasa.

Katanya, jemputan yang sama juga pernah dibuat kepada parti-parti pembangkang lain termasuk kepada Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan DAP ketika Pakatan Rakyat.

Menurutnya, jemputan kepada pimpinan parti Umno-BN julung kali dibuat kerana parti itu kini berada dalam blok pembangkang bersama dengan PAS.

“Kita (PAS) telah menyampaikan semua jemputan kepada parti-parti terutama parti pembangkang. Setakat ini, Umno telah mengesahkan akan hadir dan diketuai oleh Presidennya, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama 10 orang wakilnya dari Biro Politik Umno akan hadir.

Umno Kini Dalam Blok Pembangkang“Parti MCA dan MIC juga dijemput dan akan hadir tetapi belum disahkan berapa ramai yang akan hadir. Jemputan kepada parti-parti lain juga ada dibuat, semua kita jemput.

“Ini adalah selaras dengan pendekatan kita, Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang telah diperkenalkan oleh Presiden (PAS) kita,” ujarnya dalam satu sidang media sempena persiapan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64, di Bilik Mesyuarat, Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Justeru, katanya tidak timbul isu dengan kesediaan kehadiran parti Umno-BN dalam jemputan sempena Muktamar PAS tersebut.

“Sebelum ini, biasanya kita jemput parti pembangkang. Jika dahulunya, parti pembangkang PKR, DAP dan Gagasan Sejahtera. Sekarang ini pun kita jemput parti pembangkang jugalah Umno, MCA, MIC (BN).

“Ini pertama kalilah kita jemput Umno-BN sebab sebelum ini mereka bukan parti pembangkang, mereka kerajaan.

“Suatu masa dahulu ketika berada dalam Pakatan Rakyat, pimpinan parti-parti dalam Pakatan Rakyat hadir. Sebagaimana juga kita (PAS) dijemput dalam perhimpunan parti mereka. Ini bukan suatu perkara baharulah,” jelasnya.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan