Umno Jadikan Rakyat ‘Lapar’

1595

Oleh : KAM

KUALA NERUS – Umno Terengganu berjaya mewujudkan rakyatnya dan pengundi pilihan raya yang ‘lapar’ bagi mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negeri.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah berkata mentaliti rakyat Terengganu berbeza dengan pengundi di Kelantan.

Kata beliau, di negeri ini masih ramai di kalangan rakyat dan pengundinya yang diistilahkan ‘lapar’ meski pun mereka banyak duit.

“Rakyat Terengganu ini berbeza mentalitinya dengan rakyat Kelantan. Rakyat Terengganu masih ‘lapar’ ramai lagi.

“Inilah berjayanya kerajaan Umno-BN Terengganu mewujudkan rakyat Terengganu yang ‘lapar’, walaupun duit banyak tetapi lapar.

“Jadi kita (PAS) kena ada kekuatan kewangan untuk tarik seberapa ramai pengundi muda supaya bersama dengan PAS,” ujarnya ketika menjawab persoalan Program Chit Chat Anak MUda Dun Bukit Tunggal, di Kedai Awi Nasi Dagang, Pekan Batu Enam, pada Rabu 22 November.

Oleh itu, beliau menggariskan empat perkara asas kepada anak muda bagi mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

“Pertama, anak muda kita (PAS) kena ada kekuatan dan keyakinan serta kebergantungan kepada Allah SWT. Kedua, anak muda kita kena ada keberanian dan setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) kita mahu ada 313 orang Pemuda Istiqamah.

“Ketiga, anak muda mesti ada ilmu. Sekarang ini ‘peperangan’ (pilihan raya) sudah berbeza. Alam maya banyak memainkan peranan dan anak-anak muda boleh nilai mana yang boleh dipercayai dan mana yang fitnah.

“Kita (PAS) kena beri hujah dan fakta yang tepat supaya anak-anak muda di alam maya boleh ikut kita, Insya’Allah.

“Keempat, kena ada sumber kewangan dan pilihan raya sinonim dengan kewangan. Sebab itu, dua Dun yang kita (PAS) tidak menang dan memungkinkan kita menang masa PRU13 lalu kerana faktor utama adalah kewangan,” jelasnya kepada hampir 100 hadirin.