Umno dan MPKKP?

1173

Politik di Terengganu pada dasarnya adalah tenang semenjak Muafakat Nasional diumumkan dan kerjasama dalam banyak bentuk telah dijalankan di semua peringkat. Tetapi walaupun tenang, jangan disangka tiada buaya di bawahnya. Awal tahun ini, tidak sedikit wajah-wajah yang dahulu kita kenali sebagai Umno tegar, kerap muncul, cuba mengocakkan ketenangan ini.

Beberapa perkara yang pada dasarnya dipersetujui pimpinan, telah cuba diganggu mereka dengan menularkan tentangan mereka terhadap perkara-perkara tersebut. Agaknya bimbang jika MN diteruskan, maka tiadalah lagi mereka mahu merasa jawatan atau apa-apa kedudukan dalam kerajaan, dari peringkat kampung mahu pun ke peringkat atas kerana apabila PAS terus memerintah, maka yang tidak amanah, jahat, jauh dari agama, tidak akan mendapat tempat.

Mereka ini sebenarnya bukanlah pejuang sejati Umno dalam erti kata yang sebenar seperti yang telah digariskan oleh pimpinan mereka bagi menjaga kepentingan agama dan bangsa. Mereka ini bertindak lebih kepada menjaga kepentingan diri dan dendam. Pastinya satu lagi sebab iaitu kejahilan diri yang amat sangat. Apa tidaknya, dalam keadaan politik negara memerlukan kerjasama seagama dan sebangsa, mereka masih bersikap begini.

Saya secara bersangka baik, menyatakan bahawa, ini bukanlah arahan pimpinan Umno Terengganu, sehinggalah jika dibuktikan demikian. Ia adalah tindakan tidak matang, penuh dendam, kebencian oleh ahli-ahli bawahan mereka yang mungkin tidak menerima penjelasan sebenarnya dari pimpinan mereka tentang peri pentingnya Muafakat Nasional ini.

Naib Presiden Umno, Datuk Ismail Sabri Yaakob ketika saya mewawancara beliau turut mengakui kesukaran pimpinan Umno bagi meyakinkan Umno Terengganu yang dilihat masih berkeras dengan PAS. Berbagai kisah silam yang menyakitkan, pernah terjadi diantara penyokong kedua-dua parti. Ianya diakui sebagai penyebab kepayahan merealisasikan MN di Terengganu.

Tetapi yang berlaku bukan PAS yang berbuat jahat kepada Umno. Malah PAS lah yang paling banyak menjadi pihak tersakiti dek kerana kuasa memerintah dipegang Umno jauh lebih lama berbanding PAS. Dan ahli PAS, walaupun sangat sakit hati mereka, tetap mempraktikkan ilmu agama yang diajar oleh pimpinan mereka iaitu, jika musuh cenderung untuk berdamai, maka berdamailah.

Saya sifatkan ini sebagai bukti kejahilan yang sangat teruk dalam Umno. Dalam pada mereka dibelasah hingga jatuh kerajaan mereka bukan sahaja di Terengganu, malah di pusat juga, mereka masih menyeringaikan taring, mengasah kuku mereka bagi berlawan dengan PAS di Terengganu. Bagaikan tiada ayat Quran yang mahu mereka jadikan pedoman untuk berdamai.

Ego mereka masih ditinggalkan di atas, walaupun mereka sudah jatuh terhempas ke bawah. Apatah lagi kini, dalam lima PRK terakhir yang disertai BN, kesemuanya mereka menang. Sudah ada juga suara-suara ‘saggong nyior’ (angkuh) kata orang Terengganu, bahawa kemenangan mereka itu hasil usaha mereka sahaja. Tidak mengapa, itu hak mereka mahu mendakwa sedemikian. Tetapi sebagai ingatan kepada pimpinan Umno, jika ini tidak ditangani, maka MN akan menjadi sia-sia.

Terbaharu, terdapat laporan ada ramai nama ahli Umno Terengganu sebagai AJK dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Pusat (MPKKP) yang baru dilancarkan semalam. Kita tidak tahu apakah tujuan mereka melakukan ini semua. Tidak ubah perangai seperti dulu, iaitu Kerajaan Pusat menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri-negeri yang BN kalah.

Hal ini juga membuktikan bahawa betapa kotornya cara PH berpolitik. Dalam kebencian tinggi terhadap Umno, mereka berkempen tentang keburukan dan kejahatan Umno dahulu. Dan sehingga kini pun, mereka masih membenci Umno, tetapi dalam memberikan tekanan dan gangguan terhadap PAS, mereka sanggup bergabung dengan Umno yang mereka labelkan jahat itu. Amat jelas sikap jahat PH ini dan disokong oleh ahli-ahli Umno yang jahil dan jahat ini.

Ahli-ahli Umno ini juga boleh dianggap sebagai begitu terdesak dan kelaparan wang elaun dengan sanggup membelakangi MN yang ditandatangai oleh pimpinan tertinggi mereka. Maka boleh dilihat, betapa hinanya manusia, jika mereka menjadikan wang sebagai matlamat dalam hidup. Mereka mudah dibeli, mereka mudah berkhianat kerana tiadanya harga diri walau secubit. InsyaAllah spesis begini kalau ada dalam PAS, akan terkeluar.

Saya amat berharap agar kepimpinan Umno Terengganu melihat dengan serius perkara ini. Yang terlibat, perlu dipecat dari Umno, supaya biar MN berlawan dengan PH sahaja. Bukan MN berlawan dengan PH dan sebahagian besar Umno pula, membantu PH secara terang-terangan. Tindakan tegas perlu diambil, dan bukan sekadar menafikan untuk melepaskan diri pimpinan Umno Terengganu dari perbuatan ini.

Jika pimpinan Umno Terengganu gagal mengambil sebarang tindakan, saya percaya seluruh rakyat Terengganu yang baik, tidak boleh menolak perasaan hati, kuat menyatakan bahawa Umno Terengganu jahatnya tidak berubah, malah makin bertambah. Apa tidaknya, dahulu bertikam secara berdepan dengan PAS kerana PAS adalah musuhnya. Sekarang menikam PAS yang duduk di sebelahnya sebagai rakan.

Manakala pada sebelah PH, mereka jelas kekurangan tenaga bagi mewujudkan MPKKP ini. Keadaan penubuhan mereka sangat tergesa-gesa, secara tangkap muat. Dengan apa yang sebutkan di atas, mengambil ahli Umno sebagai AJK, ada juga meletakkan OKU sebagai Pengerusi MPKKP. Ada juga tempat yang tiada AJK nya. Tidak penuh dan menyeluruh.

Tetapi jangan lah dilihat kekurangan tenaga ini sebagai mereka bersikap zuhud, bagaikan tidak berebut jawatan. Ianya bukan begitu kerana sudah menjadi maklumat umum bahawa kebencian rakyat kepada PH, amatlah tinggi, terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis. Ianya menular juga di seluruh negara sehingga ke Sabah. Maka ianya jijik bagi rakyat yang berhati suci untuk bersama PH. Begitulah Allah tutup hati yang bersih daripada pergi kepada kekotoran.

Kita boleh jangkakan kekacauan yang besar akan berlaku, jika ahli Umno yang berkhianat ini dan PH yang penuh dendam memegang jawatan ini. Dasarnya sudah cukup jauh dari dasar Islam iaitu berkhianat dan dendam, mana mungkin ianya menuju redha Allah. Sudahkah anda lupa tidak lama dahulu apabila Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyalak mahukan wang royalti diserahkan kepada mereka, bukannya Kerajaan Negeri?

Dengan lidah yang fasih, tanpa malu, tanpa takutkan Allah, mereka sewenang-wenangnya menuduh wang royalti itu telah diselewengkan, tanpa mereka mengemukakan satu pun bukti. Dahulu, dialah kononnya wira mendesak pusat menyerahkan royalti kepada negeri. Jadi apa yang rakyat boleh harapkan daripada penubuhan MPKKP ini? Ya satu yang rakyat boleh harapkan iaitu GANGGUAN.

Mohd Nasir Abdullah
22 Januari 202