Ujian Sewaktu Menang, Tarbiah Sebagai Pendinding

194

ALOR SETAR – Ujian terbesar adalah kemenangan sebagaimana amaran yang disebut oleh Rasulullah dan tarbiah adalah senjata ampuh bagi menanganinya.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menggesa agar pendidikan ‘ruhiyah’ ditingkatkan terutama kepada pemimpin yang memegang kuasa.

“Maka sebab itu waktu menang ini, terutama kami sebagai pihak pimpinan perlu meningkatkan tarbiah terutama dari segi tarbiah ruhiyah kita dengan Allah Taala,

“boleh menjadi hijab pendinding kerana mungkin pihak berkuasa tidak tahu, tetapi dengan adanya tarbiah, kita tahu di sana lahirnya ihsan kamu mengadbikan diri kepada Allah,

“memegang jawatan, tetapi apabila sendirian, Allah melihat kamu,” ujarnya ketika menggulung hujah pada Muktamar PAS Ke-68, hari ini.

Oleh itu beliau. memuji permohonan DHPP yang meminta agar dianjurkan program usrah dalam kalangan anggotanya.

” Tarbiyyah juga menjaga disiplin, sebagaimana kata-kata Saidina Umar al-Khattab yang mana tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa ketua dan tiada dinamakan ketua jika tiada taat.

“Cawangan-cawangan yang tiada melakukan usrah, diminta perlu merasa malu kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang meminta mengadakan usrah bagi ahli-ahli mereka, jangan sehingga nanti DHPP yang menjadi naqib cawangan-cawangan ini,” ujar beliau sinis.

Beliau yang memegang amanah sebagai Ketua Lajnah Tarbiyyah dan Perkaderan PAS Pusat turut memberikan pandangan agar fiqh hiburan turut ditekankan dalam agenda dakwah PAS.

Katanya, beliau dikunjungi oleh pengarah tersohor, Yusof Haslam, Erma Fatima dan rombongan seni bagi membincangkan beberapa isu berkait hiburan, agar menjadi lebih baik untuk dipersembahkan kepada orang ramai.

Menyentuh berkenaan konsert, beliau menerangkan JAKIM telah membantah penganjurannya, namun ia disokong oleh pihak lain.

“dalam satu perjumpaan yang turut dianggotai oleh 15 badan lain yang mana, hanya Jakim yang membantah konsert itu, tetapi yang lain, menyokong.” jelasnya.

Ustaz Idris juga mengingatkan bahawa kuasa terhadap agama Islam adalah di bawah bidang perkenan Sultan dan Raja negeri-negeri melalui pejabat agama negeri-negeri.

“Jakim, tidak boleh campur tangan untuk apa-apa keputusan agensi ini.” tambah beliau.

Sebaliknya, untuk KAFA pula kata beliau, ia berada di bawah kuasa Menteri Agama yang mempunyai 35 ribu kakitangan, diberikan elaun dan beliau berjanji yang guru-guru KAFA tidak akan dianiayai.